PalestinSemasa

Serangan israel ke atas Rafah akan membunuh ratusan ribu rakyat Palestin : PBB

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata ancaman pencerobohan israel ke bandar Rafah di Gaza adalah “mengerikan” dan akan mengakibatkan jumlah korban yang “sangat tinggi”.

Ketua hak asasi manusia PBB, Volker Turk pada hari Isnin menggesa kuasa dunia untuk mengekang serangan kejam israel ke atas rakyat Palestin yang terperangkap di selatan wilayah itu.

“Potensi pencerobohan penuh israel ke Rafah – di mana kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin bersesak di sempadan Mesir tanpa ada tempat untuk melarikan diri – adalah menakutkan, memandangkan kemungkinan bilangan korban orang awam yang sangat tinggi, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita,” kata Turk dalam satu kenyataan.

Di sebalik kesakitan dan penderitaan, pencerobohan ke atas Rafah juga bermakna berakhirnya bantuan kemanusiaan yang tidak seberapa, dan ratusan ribu orang berisiko besar kebuluran di utara, tambahnya.

Beliau berkata mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa telah diberi notis dan arahan mesti diikuti.

“Dunia tidak boleh membenarkan ini berlaku,” kata Turk.

“Mereka yang mempunyai pengaruh mesti menghalang itu daripada terjadi. Harus ada gencatan senjata segera. Semua tebusan mesti dibebaskan. Dan mesti ada tekad kolektif untuk mencapai penyelesaian politik.”

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah berikrar untuk menghantar tentera darat ke Rafah yang sesak sebagai sebahagian daripada matlamatnya untuk menghapuskan Hamas.

Pengisytiharannya telah mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Tel Aviv memaksa lebih 1.4 juta rakyat Palestin untuk berpindah ke bandar kecil Rafah, menjanjikan bahwa mereka akan akan selamat.

Serangan tanpa henti Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 28,340 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Oktober, kata kementerian kesihatan.

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button