PalestinSemasa

Perancangan MAPIM bagi pembinaan semula Gaza tarik perhatian dunia

MAPIM Malaysia melalui inisiatif presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid telah menganjurkan The International Planning Session Post War Gaza Rebuilding, yang mengumpulkan lebih 200 delegasi dari 23 negara untuk menyusun strategi hala tuju pembinaan semula pasca perang di Gaza.

Pada sesi itu, CEO MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery telah membentangkan projek Bandar Wakaf Malaysia Gaza yang telah menarik perhatian NGO negara lain untuk ikut menyumbang. Projek itu akan dilaksanakan di bawah Ops Ihsan dan Kementerian Luar Negeri.

Pada sebelah malamnya pula berlangsung Majlis Makan Malam Amal untuk Gaza anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Hotel Mardiyyah yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, beliau berkata akan memajukan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pembinaan hospital yang turut dicadangkan oleh MAPIM.

“Insya-Allah, kita akan bersama-sama majukan dan bantu pembangunan semula Gaza selepas pasca peperangan ini dan berharap semua pihak bersama memastikan kejayaan pembangunan semula Gaza.

“KKM bersedia untuk menyiapkan cadangan itu kerana pastinya ia memerlukan dana, saya akan bentangkan perkembangan ini dalam mesyuarat kabinet akan datang, paling tidak nota jemaah menteri.

“Antara lainnya saya akan menyebutkan agenda MAPIM membangunkan semula Gaza. Saya perlu terangkan secara menyeluruh dan salah satu agendanya adalah pembinaan hospital ihsan yang dicadangkan,” katanya.

Jelas beliau, kehadirannya ke majlis berkenaan sebagai mewakili kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tahniah kepada MAPIM juga semua dermawan yang memberikan sumbangan dalam agenda ini, kira-kira RM30 juta yang dijana malam ini termasuk lebih 20 negara luar seperti Singapura, New Zealand, Indonesia, United Kingdom, Bangladesh,” katanya.

Persidangan itu telah berlangsung dari 10 hingga 12 Februari.

Related Articles

Back to top button