CHERAS: Seorang lelaki warga emas terpaksa melalui kesulitan kehidupan harian apabila sering ke tandas setengah jam sekali akibat menghidap penyakit prostat.
Mujur keberadaan program Mobile Clinic Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ini, memudahkan lagi proses pemeriksaan keadaan kesihatan lelaki warga emas itu di sini, semalam.
Menurut pesakit prostat, Haji Japar Latip, 67, berkata beliau menghidap penyakit tersebut sejak tiga bulan lalu selain mempunyai sakit ringan lain.
“Sebelum ini, saya cuma alami penyakit ringan sahaja macam darah tinggi, kolestrol dan sebagainya, kemudian, sejak tiga bulan lepas baru sedar yang bila nak buang air kecil tu kadang-kadang tak lepas.
“Bila saya rujuk dengan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), doktor yang buat pemeriksaan dekat saya beritahu bahawa ianya berpunca daripada penyakit prostat,” katanya.
Ketika sedang menunggu gilirannya dipanggil lagi sekali untuk pemeriksaan semula, beliau kelihatan terburu-buru untuk ke tandas atas sebab penyakitnya itu.
“Kadangkala, waktu tidur saya pun terganggu dan selalunya pada pukul 4 pagi baru saya dapat lelap sepenuhnya. Mana tidak, setiap setengah jam terpaksa bangun untuk buang air kecil,” ujarnya.
Tambah Haji, beliau sangat berpuas hati dan lega apabila mendapat maklumat tentang penyakit yang hampir menjejaskan pergerakan rutin hariannya selepas doktor menerangkan kesulitan yang dialami.
“Saya sangat bersyukur dengan program Mobile Clinic MAIWP ini dilancarkan supaya orang ramai tidak perlu untuk menunggu giliran atau membuat tempahan temu duga dengan doktor di klinik atau pusat rawatan yang jauh,” jelasnya lagi.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today