
Satu siasatan bersama oleh The Guardian, +972 Magazine, dan Local Call mendedahkan bahawa agensi perisikan tentera Israel, Unit 8200, telah menggunakan platform awan Microsoft Azure bagi menyimpan serta menganalisis panggilan telefon rakyat Palestin dalam skala besar di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Sistem yang mula beroperasi sejak 2022 itu dilaporkan mampu memproses sehingga sejuta panggilan setiap jam, dan digunakan secara langsung untuk menyokong operasi ketenteraan Israel di kedua-dua wilayah tersebut.
Menurut siasatan, kerjasama ini terjalin selepas pertemuan pada 2021 antara Komander Unit 8200, Yossi Sariel, dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella. Dengan kapasiti penyimpanan hampir tanpa had yang disediakan Azure, Unit 8200 membina sistem pengawasan berskala besar yang mampu mengumpul serta menyimpan rakaman berjuta-juta panggilan telefon mudah alih rakyat Palestin setiap hari.
Dokumen bocor Microsoft dan temu bual dengan 11 sumber dalaman mendedahkan bahawa platform ini telah menyimpan arkib sekitar 11,500 terabait komunikasi yang dipintas — bersamaan kira-kira 200 juta jam panggilan telefon.
Tiga sumber dari Unit 8200 mengesahkan bahawa data yang dikumpul digunakan untuk memudahkan pelaksanaan serangan udara maut dan membentuk strategi operasi ketenteraan di Gaza serta Tebing Barat. Sistem ini juga dilaporkan digunakan bersama teknologi AI bagi mengenal pasti sasaran, yang telah mempengaruhi kempen ketenteraan yang mengorbankan ramai orang awam.
Sejak bermulanya serangan pada Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 61,100 rakyat Palestin — majoritinya wanita dan kanak-kanak — sementara kira-kira 11,000 lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan, menurut agensi berita rasmi Palestin WAFA. Pakar pula menganggarkan jumlah sebenar kematian boleh mencecah 200,000 orang.
Akibat serangan itu, sebahagian besar Gaza kini musnah dan hampir seluruh penduduknya terpaksa meninggalkan kediaman. Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel juga sedang berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sumber: TRT World & Agensi