PalestinSemasa

Siasatan PBB: Pasukan Keselamatan Israel Lindungi Peneroka Haram Serang Rakyat Palestin

Satu siasatan rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati bahawa pihak berkuasa Israel terlibat secara langsung dalam membolehkan siri serangan oleh peneroka haram ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki. Laporan tersebut mendedahkan bahawa pasukan keselamatan Israel bukan sahaja memberikan perlindungan, malah turut bertindak sebagai perisai semasa keganasan itu berlaku.

Laporan daripada Suruhanjaya Siasatan mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki menunjukkan bahawa serangan ke atas kawasan perkampungan dan tanah pertanian Palestin melonjak sebanyak 130 peratus sejak tahun 2023. Ini termasuk siri serangan agresif yang melibatkan kumpulan penyerang bertopeng dengan iringan rutin daripada pasukan keselamatan Israel. Suruhanjaya tersebut mendapati sokongan kewangan, ketenteraan, serta iklim kekebalan undang-undang yang dipupuk oleh badan kehakiman Tel Aviv menjadi punca utama jenayah ini terus berleluasa.

Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri Israel dan pihak tentera dilapor tidak memberikan sebarang maklum balas segera berhubung dapatan siasatan tersebut. Sebelum ini, pihak Israel sering menolak dakwaan bahawa tenteranya melindungi peneroka haram dan mendakwa insiden sedemikian hanyalah kes terpencil yang melanggar protokol ketenteraan mereka. Walau bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia tempatan menegaskan bahawa siasatan dalaman oleh Israel sangat jarang berakhir dengan sabitan hukuman.

Penculikan Kanak-Kanak Dan Keganasan Seksual

Dapatan siasatan PBB turut mendokumentasikan pelbagai kes jenayah berat termasuk kes penculikan serta penderaan kanak-kanak Palestin oleh peneroka haram. Antara kes yang direkodkan adalah kejadian pada 19 April 2025, yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun bersama adik lelakinya yang baru berumur tiga tahun. Kedua-dua mangsa diculik dengan diacukan pisau sebelum diikat pada sebatang pokok di kebun zaitun menggunakan pengikat plastik.

Bukan itu sahaja, laporan itu juga mendedahkan bahawa kumpulan peneroka haram terbabit menggunakan ancaman keganasan seksual sebagai senjata untuk menimbulkan ketakutan dan mengganggu wanita Palestin.

“Peningkatan penyertaan pasukan keselamatan Israel dalam serangan peneroka ini telah meruntuhkan sempadan perbezaan antara seorang peneroka haram dan seorang askar,” jelas suruhanjaya itu sambil menegaskan keganasan ini digunakan secara sistematik untuk memajukan dasar negara termasuk pengusiran rakyat dan pengilhakan wilayah Palestin.

Gesaan Ambil Tindakan Tegas

Ketua suruhanjaya tersebut, S. Muralidhar, yang juga merupakan bekas hakim kanan India, menegaskan bahawa serangan harian yang tidak henti-henti terhadap rakyat Palestin ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan mesti dihentikan serta-merta. Beliau menggesa komuniti antarabangsa untuk mengenakan tekanan fizikal dan diplomatik yang kuat ke atas Israel bagi merobohkan semua penempatan serta pos kawalan haram berkenaan.

Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan pendapat nasihat yang menegaskan bahawa keseluruhan pendudukan dan penempatan Israel di wilayah Palestin adalah menyalahi undang-undang antarabangsa dan harus ditarik balik secepat mungkin. PBB turut melaporkan bahawa sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin terbunuh dan 832 yang lain cedera akibat keganasan peneroka haram sepanjang tahun lalu, dengan trend serangan harian yang berterusan sehingga tahun 2026 ini.

(Sumber: Reuters)

Related Articles

Back to top button