
Singapura akan mengklasifikasikan penggunaan rokok elektronik atau vape sebagai isu dadah dengan penguatkuasaan lebih tegas termasuk hukuman lebih berat, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata rokok elektronik kini menjadi kebimbangan serius kerana banyak produk yang dipasarkan bukan sekadar rokok elektronik, sebaliknya dicampur dengan bahan berbahaya yang boleh menyebabkan ketagihan seperti etomidate.
“Selama ini kita menganggap rokok elektronik seperti tembakau dengan hukuman maksimum denda, namun itu tidak lagi mencukupi.
“Kita akan anggap ia sebagai isu dadah dan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat, termasuk hukuman penjara serta tindakan lebih tegas terhadap penjual rokok elektronik yang mengandungi bahan berbahaya,” katanya ketika berucap pada Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) di Ibu Pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE), di sini malam ini.
Menurut beliau, kerajaan juga akan menyediakan rawatan pemulihan dan pemantauan bagi membantu mereka yang ketagih vape untuk berhenti, selain mempergiatkan kempen pendidikan awam secara besar-besaran di sekolah, institusi pengajian tinggi serta perkhidmatan negara.
Katanya, Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan akan mengetuai usaha tersebut dengan sokongan menyeluruh daripada seluruh kerajaan.
Terdahulu, etomidate diumumkan sebagai bahan terlarang Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Dalam ucapannya berbahasa Melayu, Wong turut mengumumkan bahawa Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang diumumkan penubuhannya tahun lalu akan memiliki kampus tetap di Rochor, bersebelahan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). Pelajar SCIS juga boleh mengambil kursus sains sosial di SUSS sebagai sebahagian daripada pengajian mereka.
Beliau memaklumkan bahawa Taman Warisan Melayu yang dijadual dibuka semula tahun depan akan menampilkan galeri serta program baharu sebagai usaha memelihara dan menyemarakkan warisan Melayu di republik itu.
Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini disampaikan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Inggeris.
— BERNAMA