DuniaKemanusiaanRohingyaSemasa

Penjarakan Sosial Perlu Terhadap Sentimen Xenofobia – Presiden MAPIM

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi telah menyeru orang awam melalui akaun laman Facebook beliau agar tidak terhasut dengan sentimen xenofobia iaitu perasaan sangat takut atau benci terhadap orang asing yang tercetus kebelakangan ini.

Berikut adalah siaran penuh beliau:

Kami mencadangkan agar rakyat Malaysia melakukan penjarakkan sosial ( social distancing ) terhadap satu lagi virus yang merbahaya iaitu xenofobia.

Xenofobia adalah sentimen menolak dan membenci seseorang atau kumpulan pendatang dari negara lain. Alasannya ialah sentimen takut kepentingan orang tempatan dikuasai oleh orang luar ( pendatang ).

Malah ada yang mengungkap istilah “negara tergadai” dan perumpaan ” kera dihutan disusukan, anak dipangkuan mati kelaparan ”

Kami berpandangan xenofobia adalah suatu bentuk penyakit yang mudah menjadi wabak sosial yang mengenepikan prinsip kemanusiaan atas kepentingan rakyat tempatan.

Wabak ini bermula dengan fikiran atau persepsi orang luar boleh menggugat kepentingan negara , kemudian membentuk sikap membenci dan akhirnya ia dibudayakan untuk berprasangka melulu kepada orang asing.

Natijahnya semua yang negatif dipersalahkan kepada pendatang walaupun warga tempatan ada yang turut terlibat dalam gejala negatif dalam masyarakat.

Malaysia kini adalah destinasi yang terkenal dikaca-mata antarabangsa semada dari sudut pelancongan , hub kesihatan, pendidikan dan pelaburan mahupun perlindungan pelarian. Akibat dasar negara yang semakin terbuka untuk menerima pekerja asing baik dari golongan eskpatriat mahupun pembantu rumah , Malaysia kini mempunyai jutaan pekerja luar.

Sementara itu Malaysia mengamalkan dasar kemanusiaan menerima dan membantu pelarian dan pemohon suaka dengan syarat yang ketat.

Kini pelarian dari Myanmar, Syria ,Yemen, Iraq, Afghanistan, Palestin , Kashmir, Xinjiang , Sri Langka, India , sudah berada di Malaysia. UNHCR adalah agensi yang diterima oleh kerajaan Malaysia untuk menguruskan pendaftaran mereka untuk sementara waktu ini. Pemerosesan kad UNHCR dikeluarkan untuk menguruskan bagaimana hak asasi mereka terlindung.

Akan tetapi Malaysia bukan satu-satunya negara yang terbeban dengan kedatangan pelarian. Banyak negara seperti Turki, Jordan , Lebanon, UAE, Kuwait, Arab Saudi, Pakistan dan negara- negara maju seperti US, UK, Kanada , Australia, Jepun juga terbeban dengan pelarian.

Namun, kini informasi yang tidak sahih dan tidak lengkap terhadap pelarian khususnya etnik Rohingya menjadi sasaran dalam kempen xenofobia yang sekarang dicetuskan dalam media sosial di Malaysia.

Sudah berlaku insiden pelarian Rohingya dihalau dari rumah yang mereka sewa, diugut bunuh, diancam untuk dicederakan, diherdik dan dicaci. Cadangan mereka dihantar balik ke negara asal di Arakan, Myanmar disuarakan walaupun semua tahu pelarian Rohingya tidak diterima sebagai warga negara di Myanmar.

Soalnya persepsi ini adalah gejala yang boleh merebak tanpa pertimbangan kemanusiaan dan bertindak mengambil undang-undang ditangan sendiri atau bertentangan dengan undang-undang.

Sentimen xenofobia boleh memberi impak negatif bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga kepada pendatang sendiri. Ia tidak mengambilkira kesan sosial, agama, ekonomi mahupun keamanan awam.

Kebiasaannya golongan pendatang yang berstatus pelarian dan pencari suaka menjadi kelompok paling mudah dijadi sasaran masyarakat tempatan. Lebih parah golongan paling mudah terkesan ( most vulnarable ) ialah kanak-kanak, wanita dan warga tua yang tidak punya keupayaan untuk melanjutkan kehidupan ( survival ) secara terjamin dan bermaruah.

Sentimen kebencian ditularkan melalui media sosial dengan mudah dan kebiasaannya cepat digarap oleh masyarakat tempatan secara tidak rasional.

Kami khuatir bahawa sentimen xenofobia boleh dijadi sikap yang ekstrim sehingga bertukar ganas diluar kawalan.

Apatahlagi melalui media sosial yang menular foto, ilustrasi, kenyataan pemimpin , komentar dan video, walaupun tidak punya kesahihan malah tidak tepat samasekali, akan tetapi disebar secara meluas sehingga membentuk persepsi negatif yang sukar dibendung.

Ditambah buruk lagi banyak manipulasi statistik terhadap kumpulan pendatang yang diistilah “pendatang haram” ( PATI ) termasuk pelarian meningkatkan lagi rasa resah masyarakat tempatan yang mendakwa negara kini sedang di ” ditawan ” oleh pendatang asing.

Bermula dari berita dan maklumat yang diolah dan ditokok tambah dengan komen terutama melaui aplikasi WhatsApp dan Facebook , memudahkan virus kebencian dan prasangka merebak.

Kami menyarankan “penjarakan sosial” segera dilakukan terhadap sentimen xenofobia kerana ia adalah wabak sosial yang merbahaya.

Sementera ada rasional meletakkan kepentingan nasional sebagai faktor utama, namun menggunakan sentimen kebencian adalah merbahaya kerana ia boleh bertukar menjadi tindakan jenayah dan mencetuskan keganasan.

Kami menyeru kelompok elit pemikir, cendikiawan dan ulama berperanan untuk membendung virus xenofobia yang sangat tidak sihat ini. Mereka perlu bersuara dan menerangkan isu ini secara ilmiah berdasarkan prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

Kami kesal ada segelintir golongan intelektual dan ahli politik juga terpedaya dan turut menyebar persepsi negatif dan mengembangkan sentimen xenofobia.

Soalnya apakah jaminan isu ini tidak terhenti kepada satu komuniti pelarian sahaja. Apakah kumpulan pelarian yang lain akan pula menjadi sasaran kebencian dimasa akan datang.

Sementara itu pihak berkuasa seperti polis perlu memantau keadaan agar mengawal dan bertindak tegas terhadap kumpulan yang menyebar maklumat palsu yang bertujuan mewujudkan kebencian dan permusuhan yang tajam keatas komuniti pendatang dan pelarian.

Kerajaan perlu menyemak semula polisi dan undang-undang migran yang dapat menyekat gejala mencetuskan sebaran kebencian, diskriminasi dan keganasan ke atas pendatang. Suatu kerangka polisi yang komprihensif untuk menangani isu pendatang dan pelarian perlu diwujudkan berdasarkan prinsip keadilan, kemanusiaan dan kebertanggungjawab sosial.

Mohd Azmi Abdul Hanid
Presiden MAPIM

Sumber: Akaun Facebook Cikgu Azmi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button