SemasaSukan

Skuad Luncur Ombak Negara Cemerlang di Kejohanan Asia ASF 2025

Malaysia mempamerkan aksi bertenaga di Kejohanan Luncur Ombak Asia ASF 2025 di Mahabalipuram, Tamil Nadu, India, dengan kejayaan awal diraih menerusi atlet muda berbakat, Lucas Santiago Wehle.

Wehle, 16, yang bersaing dalam kategori Terbuka Lelaki, memukau juri dengan ketepatan memilih ombak terbaik dan gerakan teknikal mantap, mengumpul 11.37 mata (dua ombak terbaik) untuk menjuarai saringan. Kemenangan itu membolehkan beliau mara terus ke Pusingan 3 tanpa melalui pusingan penyingkiran.

“Saya hanya fokus kepada ombak terbaik dan kekal tenang. Ia satu pengalaman luar biasa dapat mewakili Malaysia di sini,” katanya.

Dalam aksi lain, peluncur veteran Mohd Nazrin Nasruddin atau “Yen” mengutip 8.40 mata untuk menduduki tempat kedua di belakang atlet tuan rumah, Kishore Kumar (12.17). Yen perlu beraksi di pusingan penyingkiran bagi merebut slot ke Pusingan 3.

Rakan sepasukan, Muhamad Nor Afiq Haikal atau “Kal”, turut berdepan laluan getir selepas menamatkan saringan di tempat ketiga. Beliau akan bersaing di pusingan penyingkiran menentang Yen, wakil Taiwan Tsung-Lin Han, dan Mohammad Alizada dari Afghanistan.

Malaysia turut melakar sejarah dengan penampilan pertama dalam kategori Terbuka Wanita menerusi Nurain Mat Isa, Tun Athirah Shah Norazhar, dan Mona Rasidah Abdul Rashid. Ketiga-tiga mereka menduduki tempat ketiga dalam saringan masing-masing dan mara ke pusingan penyingkiran 2, mengekalkan harapan negara di pentas wanita.

Ketua jurulatih Muhammad Muttakin Talib memuji semangat juang atlet negara:
“Pertandingan di Mahabalipuram sangat sengit. Kami berdepan peluncur terbaik Asia, namun atlet kita beraksi dengan disiplin, kemahiran, dan semangat tinggi.”

Tumpuan kini terarah kepada Wehle yang akan memulakan cabaran dalam kategori bawah 18 tahun lelaki esok menentang peserta India dan Lubnan.

Kejohanan yang menghimpunkan atlet dari lebih 20 negara ini berlangsung dari 3 hingga 12 Ogos.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button