SemasaSukan

Slamfest 2025 Buka Peluang Bakat Gusti Tempatan Tembusi WWE

Acara gusti profesional Slamfest 2025 yang akan berlangsung pada 30 Ogos di Stadium Juara, Bukit Kiara dijangka menjadi platform penting bagi bakat tempatan menarik perhatian World Wrestling Entertainment (WWE).

Pengasas Asia-Pacific (APAC) Wrestling, Ayez Shaukat Fonseka Mohd Farid atau Shaukat, berkata pencari bakat daripada program WWE Independent Development (WWE ID) akan hadir untuk menilai lebih 10 penggusti tempatan.

“Ini peluang kita membuktikan bahawa bakat Malaysia bertaraf dunia dan berpotensi melahirkan bintang WWE masa depan,” katanya pada sidang media di Puchong hari ini.

Slamfest 2025 menampilkan lapan perlawanan, termasuk pertarungan Shaukat menentang bekas juara WWE Jinder Mahal (kini dikenali sebagai Raj Dhesi) serta aksi mempertahankan kejuaraan APAC Wrestling oleh ‘Dreamkiller’ Azroy menentang juara lelaki WWE ID Cappucino Jones.

Kejuaraan wanita turut menjadi rebutan antara bintang Malaysia Nor ‘Phoenix’ Diana dan juara wanita WWE ID pertama Kylie Rae.

Tiket berharga antara RM130 hingga RM560 boleh dibeli di Ticket2U, manakala siaran langsung disediakan melalui CloudJoi dan TikTok Shaukat dengan bayaran RM35.

APAC Wrestling ialah peneraju promosi gusti profesional Asia Tenggara yang berpangkalan di Malaysia dan bekerjasama secara rasmi dengan WWE ID.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button