
Tahun 2025 mencatatkan antara tempoh paling signifikan dalam usaha membanteras rasuah apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melaksanakan pelbagai siasatan dan operasi berskala besar yang mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap prinsip ketelusan dan integriti. Pendedahan sepanjang tahun bukan sahaja melibatkan ahli politik, malah turut membabitkan agensi penguatkuasaan serta institusi perbankan dengan nilai pemulihan aset, sitaan dan pelucuthakan mencecah lebih RM8.4 bilion setakat 30 November.
Antara kes paling menggemparkan ialah siasatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menyaksikan rampasan pelbagai mata wang bernilai lebih RM169 juta serta 16 kilogram jongkong emas dari sebuah rumah selamat. Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1 Oktober membenarkan wang yang disita itu dilucutkan hak kepada kerajaan selepas tiada tuntutan dibuat oleh mana-mana pihak.
Operasi SPRM turut memberi tumpuan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen menerusi siri serbuan di pintu masuk utama negara, depoh penyimpanan serta pejabat operasi di beberapa negeri. Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia juga berada dalam radar SPRM bagi memastikan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan agensi penguatkuasaan dapat dibanteras sepenuhnya.
Menerusi OPS Airways di kawasan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, SPRM menahan 13 individu termasuk enam pegawai kastam kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan rokok elektronik. Dalam operasi itu, 90,000 unit vape dirampas dengan anggaran cukai berjumlah RM5.4 juta, selain pembekuan akaun dan sitaan dokumen berkaitan urusan penghantaran dan pembayaran.
SPRM juga melaksanakan OPS Rentas bagi membongkar kegiatan counter setting di KLIA yang membabitkan kemasukan warga asing tanpa pemeriksaan penuh. Beberapa pegawai imigresen ditahan pada Ogos kerana dipercayai menerima rasuah sehingga RM400,000. Pada September, operasi susulan di beberapa negeri membawa kepada penahanan 27 individu termasuk pegawai penguat kuasa, pembekuan 57 akaun bank bernilai RM2.7 juta serta rampasan pelbagai aset dan barangan mewah.
Institusi perbankan tidak terkecuali apabila OPS Tiger menyaksikan penahanan 49 pegawai dan bekas pegawai bank berhubung rasuah melibatkan firma guaman dengan jumlah hampir RM700,000. OPS Sky pula membawa kepada pendakwaan 16 individu, rampasan ribuan dokumen dan pembekuan hampir 100 akaun bank bernilai RM17.4 juta.
Dalam aspek keselamatan negara, OPS Sohor mendedahkan pembabitan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia yang disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor. Turut menjadi perhatian ialah kes rasuah melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah yang membabitkan ahli perniagaan dan tokoh politik, sekali gus mengukuhkan pendirian kerajaan untuk bertindak tanpa kompromi.
Berdasarkan statistik SPRM, setakat 30 November, sitaan di bawah Akta SPRM 2009 berjumlah RM566.77 juta manakala RM6.26 bilion disita mengikut AMLA. Sepanjang tempoh sama, SPRM menerima lebih 6,000 maklumat, membuka hampir 1,000 kertas siasatan, menahan lebih 1,100 individu, memfailkan 445 pertuduhan dan merekodkan 189 sabitan.
Sumber: BERNAMA






