
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyelaraskan tindakan segera bersama agensi berkaitan susulan banjir yang melanda enam negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara langkah yang diambil termasuk hebahan awal khidmat pesanan ringkas (SMS) kecemasan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyaluran bantuan kebajikan dan keperluan asas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta pengoperasian pam kecemasan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengawal paras air.
Perdana Menteri menasihatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diarahkan bagi keselamatan diri dan keluarga. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang membantu mangsa banjir.
Berdasarkan data terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) setakat 8 malam, enam negeri terjejas iaitu Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Sarawak, melibatkan 13,419 mangsa di 95 PPS.
Sumber: BERNAMA






