Sekurang-kurangnya 66 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam serangan udara terbaru Israel di kawasan perumahan berhampiran Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, menurut wartawan dan saksi tempatan.
Menurut wartawan Palestin, Hossam Shabat, serangan yang disifatkan sebagai “mengerikan” itu menyasarkan beberapa keluarga, yang kebanyakannya kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman. Beberapa keluarga yang terlibat termasuk keluarga Al-Madhoun, Khader, Abu Wadi, Shaqoura, dan Nassar, yang dilaporkan telah “dimusnahkan seluruhnya” dalam serangan tersebut.
Hussam Abu Safiya, Pengarah Hospital Kamal Adwan, menyatakan bahawa terdapat sekitar 200 orang berada di lokasi ketika serangan berlaku, dan banyak mangsa “syahid, cedera dan hilang” masih terperangkap di bawah runtuhan rumah yang dibom. Beliau turut mengakui bahawa hospital tersebut kekurangan ambulans untuk mengangkut mangsa-mangsa yang tercedera atau sudah meninggal dunia.
Sementara itu, angka kematian akibat serangan udara Israel di rumah keluarga Al-Arouqi di kejiranan Sheikh Radwan juga meningkat kepada 22 orang, termasuk sembilan kanak-kanak, kata pegawai tempatan.
Serangan ini menambah lagi penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang terus berdepan dengan serangan udara dan keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing.
SUMBER : TRT World