
Kesan angin Ribut Tropika Senyar yang dijangka melanda Semenanjung Malaysia berpotensi mengancam struktur bangunan yang tidak kukuh, khususnya struktur sementara, menurut Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr Noram Irwan Ramli.
Beliau berkata angin dijangka mencecah kelajuan sekitar 50 kilometer sejam, dikategorikan sebagai angin kencang yang boleh menjejaskan struktur tertentu, tetapi masih tidak mampu merosakkan bangunan yang dibina mengikut piawaian kejuruteraan.

“Antara paling berisiko ialah struktur sementara seperti khemah, kanopi, gerai pasar malam, stor ringan dan bumbung tambahan, selain objek ringan seperti kepingan zink lama, papan tanda longgar, plastik, kayu kecil serta peralatan luar rumah yang mudah tercabut dan menjadi serpihan berbahaya,” katanya.
Dr Noram Irwan turut menegaskan bahawa bangunan lama yang tidak diselenggara dengan baik dan pokok besar yang uzur atau lemah juga berisiko tumbang, menghempap kenderaan atau menghalang laluan. Sebaliknya, rumah batu, rumah teres dan bangunan konkrit dengan sambungan bumbung yang kukuh serta dinding galas beban mencukupi berada pada tahap risiko rendah.
Beliau menekankan bahawa Malaysia jarang berdepan ribut tropika, menyebabkan tahap pendedahan dan persediaan masih rendah berbanding negara jiran seperti Filipina, Thailand dan Vietnam. “Dalam situasi ini, tahap kesiapsiagaan lebih penting daripada kekuatan angin itu sendiri. Fenomena ini bukan bencana besar dari segi angin, tetapi kesannya boleh menjadi serius sekiranya struktur sementara, objek ringan dan kawasan sekitar tidak diperkukuh,” katanya.
Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan menurunkan semua struktur sementara, menyimpan atau mengikat objek ringan, menangguhkan pasar malam serta mengelakkan kawasan sekitar pokok besar yang lemah.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, memaklumkan ribut tropika itu telah memasuki perairan Selat Melaka sejak 3.30 petang dan dijangka membawa hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di Selangor, Perak dan sebahagian Pahang.
Sumber: BERNAMA







