
Malaysia selaku juara bertahan akan membawa kontinjen kedua terbesar ke Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia dari 20 hingga 26 Ogos ini, dengan misi meraih 16 pingat emas sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2022.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn berkata sasaran itu melibatkan enam emas dalam acara olahraga, lima (tenpin boling), dua (badminton), dua (catur) dan satu (futsal lelaki).
“Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian insentif kemenangan setara dengan atlet normal, terutamanya sempena Hari Merdeka jika atlet kita berjaya membawa pulang pingat. Sebelum ini, atlet pekak pernah menerima ganjaran di Deaflympics, namun ia hanya berbentuk sagu hati, bukan insentif rasmi,” katanya menerusi jurubahasa isyarat pada sidang media di Wisma OCM hari ini.
Shin Ruenn turut menyuarakan harapan agar komuniti pekak di Malaysia memiliki pusat latihan bersepadu lengkap dengan kemudahan moden bagi meningkatkan prestasi atlet serta menjadi simbol sokongan berterusan terhadap sukan komuniti pekak.
Kontinjen Malaysia kali ini terdiri daripada 80 anggota – merangkumi 53 atlet dan 27 pegawai – yang akan bersaing dalam enam acara iaitu futsal, olahraga, badminton, tenpin boling, catur dan ping pong. Indonesia selaku tuan rumah membawa kontinjen terbesar dengan 100 atlet.
Naib Presiden MSDeaf, Sarkunan Balakrisnan yang dilantik sebagai Ketua Kontinjen menyifatkan ia sebagai penghormatan besar dan yakin sasaran pingat mampu dicapai berbekalkan semangat tinggi atlet negara, walaupun menganggap Indonesia sebagai pencabar utama.
Atlet kelahiran Perlis, yang pernah memenangi pingat emas pada edisi 2022, dipilih membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan temasya kali ini.
— BERNAMA