PalestinSemasa

Suku juta tan sisa timbulkan ancaman kesihatan serius di Kota Gaza

Lebih 250,000 tan sisa dilaporkan menimbun di seluruh Kota Gaza, mencetuskan krisis kesihatan dan alam sekitar yang semakin membimbangkan di tengah-tengah kekurangan air serta kebocoran sistem kumbahan akibat kemusnahan berterusan perang Israel.

Jurucakap pihak berkuasa perbandaran, Asim al-Nabih, berkata keadaan itu kini menjadi “bencana alam sekitar dan kesihatan” yang mengancam ribuan penduduk Palestin, apabila timbunan sampah mencetuskan risiko penularan penyakit, selain menarik perhatian tikus dan serangga pembawa wabak.

“Bandar Gaza sedang menghadapi beberapa bencana kesihatan dan alam sekitar yang membahayakan nyawa penduduk,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan pada Isnin.

Menurutnya, lebih 85 peratus jentera berat dan sederhana milik pihak perbandaran telah dimusnahkan oleh tentera Israel, menyebabkan kerja-kerja pelupusan sisa tidak dapat dijalankan.

Nabih menambah, kru perbandaran turut dihalang daripada memasuki tapak pelupusan utama di kawasan Juhor al-Dik, tenggara Kota Gaza, yang kini terletak berhampiran kawasan operasi tentera Israel selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Beliau turut mendedahkan bahawa kebocoran besar kumbahan tidak dirawat ke jalan-jalan utama semakin menambah parah situasi kesihatan awam, berikutan lebih 700,000 meter saluran paip telah musnah dalam serangan Israel.

Pihak berkuasa Gaza menganggarkan tahap kerosakan keseluruhan akibat perang mencapai 90 peratus dengan nilai kerugian awal mencecah AS$70 bilion.

Nabih menyeru campur tangan segera komuniti antarabangsa bagi membolehkan kemasukan jentera, bahan api dan bantuan teknikal untuk menangani krisis berkenaan.

“Tanpa sumber ini, penduduk akan terus berdepan risiko kematian akibat penyakit dan wabak yang merebak,” tegasnya.

Sejak Oktober 2023, perang Israel di Gaza telah meragut lebih 68,500 nyawa dan mencederakan lebih 170,000 penduduk, menurut data pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Sumber: TRT World / Agensi Anadolu

Related Articles

Back to top button