Semasa

Surat terakhir Rosli Dhobi untuk rakyat Sarawak

Sempena Hari Sarawak

Dua puluh dua Julai setiap tahun telah digazetkan sebagai Hari Sarawak. Pada tarikh itu di tahun 1963, Sarawak telah diberikan pemerintahan sendiri oleh kerajaan British sebelum Sarawak menyertai Malaysia pada 13 September tahun yang sama.

Untuk orang Sarawak, tarikh 22 Julai disambut dengan penuh kesyukuran selepas puluhan tahun mereka berjuang menentang penjajah.

Dalam proses penentangan terhadap penjajah, muncul ramai pahlawan yang mengorbankan nyawanya. Antara yang terkenal adalah Rosli Dhobi.

Penentangan Rosli Dhobi mencapai kemuncak pada pada 4 Disember 1949 dengan terbunuhnya Gabenor Sarawak yang kedua, Duncan Stewart di Sibu.

Rosli Dhobi akhirnya dipenjara dan dijatuhkan hukuman mati. Tetapi itu tidak mampu memenjarakan semangat dan mematikan perjuangan rakyat Sarawak.

Beliau sempat menulis beberapa pucuk surat dan ini adalah antara surat terakhir sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Dengan secharek kertas ini dan seputung pensil untuk renungan sepanjang masa. Saya si penulis Rosli Dhobi dalam lindungan Permai. Saudara2 dan saudari2 sa-perjuangan, saya tak lama lagi akan meninggalkan jejak tanah tumpah darahku yang ku chintai, dan utama sekali ayah bunda yang ku kasehi dan saudara2 semua.

Dengan nama Allah sifat pemurah dan pengampun saya menyusun 10 jari mohon ampun dan maaf atas kesalahan saya yang telah terjadi selama ini, saya sanggup berkorban nyawa untuk memperbaiki raayat yang telah dibudaki oleh penjajah, saya mengaku dan terima apa2 kesalahan di dunia ini saya tak gentar saya tak takut mati, saya terima hukuman yang telah di jatohkan di-mahkamah.

Saya berdoa kepada Allah s. w. t. Saudara2 saudari2 di-akhir kelak balek ke-pengkuan Ibu pertiwi. Sungguh begitu saya sudah sanggup menghapuskan orang putih yang berasing dan datangnya tetapi saya sudah tidak ada di dunia ini nama saya tetap harum seluroh Dunia sagenap plusuk. Akhir kata, hey! Saudara2 Saudari2 sekalian berjuanglah jangan mundur majulah kahadapan.

Amin ya rabbul alamin berkat doa laillahailahi Muhammadar rasulullah. Dan saya uchapkan jutaan terima kasih kepada saudara. Semoga Allah sahajalah yang akan membalas budi jasanya dengan penuh layanan, nasihat yang belom pernah didengar oleh saya dari awal hingga akhir.

Harapan ini surat jangan sekali diberi sesiapa pun. Simpan baik-baik, barangkali di lain masa ada gunanya.

Ditulis pada 1-3-1950

Saya yang akan meninggalkan endah ini, R.D.

Related Articles

Back to top button