KerohanianSemasa

“Fahami perjuangan Nabi Muhammad SAW, para sahabat”

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai kepelbagaian kaum, etnik dan agama yang hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu-padu.

Namun keharmonian itu tercalar apabila adanya kes-kes penghinaan terhadap kaum dan agama yang tular di media sosial.

Mengambil contoh kes yang melibatkan seorang wanita yang mengakui menghafal 15 juzuk Al-Quran lalu membuka tudung dan baju kurungnya di khalayak ramai atas nama ‘stand up comedy’.

Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi menegaskan, isu penghinaan agama berlaku kerana kurangnya pemahaman mereka terhadap agama Islam, sejarah dan peribadi Nabi Muhammad SAW.

“Saya menggesa semua umat Islam untuk mementingkan solat, terapkan hati dengan tazkirah pendek bagi menghidupkan roh orang Melayu Islam yang hidup dalam negara yang berbilang bangsa ini agar lebih menghormati sesama kita.

“Semua generasi baik golongan muda atau yang lebih dewasa seharusnya memahami perjuangan dan sejarah Nabi Muhammad SAW dan juga para sahabat dengan mengadakan ceramah atau ‘roadshow’ ke universiti-universiti ataupun sekolah untuk menyampaikan dakwah agar iman mereka tidak tersasar di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi berkongsi ilmu dalam perjuangan membela ummah bersama Ketua Aktivis MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepada semua pendakwah untuk ubah mentaliti agar tidak terlalu mementingkan populariti semata-mata dalam menyampaikan dakwah, sebaliknya penyampaian mereka haruslah memberikan ibrah kepada para pendengarnya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button