Semasa

Susulan kes Iki Putra: Sistem kehakiman, perundangan syariah perlu diperkasakan

SHAH ALAM:  Pemerkasaan, penyeragaman dan penambahbaikan sistem kehakiman serta perundangan syariah Malaysia perlu sentiasa diberi perhatian utama supaya tidak boleh dipertikaikan keabsahannya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan tegas berkata, sudah sampai masanya mana-mana kerajaan yang memerintah Malaysia dan mentadbir, hendaklah memandang serius dalam memperkasa dan memartabatkan undang-undang syariah yang seolah-olah boleh disepak terajang dan dinyahkan walaupun hanya dengan mahkamah majistret atau mahkamah rendah sivil.

Kekeliruan apabila bertembung antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil sentiasa berpihak kepada mahkamah sivil. Itulah harga yang terpaksa dibayar oleh kita.

“Satu-satunya jalan bagi menyelamatkan undang-undang syariah adalah melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan seperti saranan 200 peguam yang telah menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra“.

“Perjalanan memperkasa undang-undang syariah ini bukan kerja sehari dua. Saya sedia maklum dan yakin, mana-mana menteri yang terlibat sama ada sebelum atau selepas saya, memberikan komitmen sepenuhnya untuk perjuangan ini,katanya menerusi kemaskini di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.

Bagaimanapun, disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Justeru, Dr Zulkifli menyeru semua pihak untuk bersatu dalam memperjuangkan tindakan pemerkasaan itu kerana ia sudah mula menyentuh kuasa Sultan dan Raja-raja Melayu yang juga merupakan Ketua Agama Islam serta Autoriti Mahkamah Syariah.

Jelasnya, pada tahun 2020 dan 2021 terdapat 28 buah Rang Undang-Undang atau Kaedah-Kaedah yang diusahakan oleh kerajaan serta sebahagiannya telah hampir disempurnakan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Ini tidak termasuk tujuh pindaan akta sedia ada yang berlangsung pada tahun-tahun tersebut dalam Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Persekutuan yang disasarkan sehingga 2025“.

“Akhir kalam, saya mengharapkan janganlah isu memperkasakan mahkamah syariah dan penggubalan undang-undangnya menjadi makin melemah dan akhirnya mati di tengah jalan,” ujarnya.

Beliau turut memetik hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim,

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button