EkonomiSemasa

Pulau Pinang Rancang Bina Pelabuhan Tuna Baharu di Bagan Ajam

Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang untuk membina sebuah pelabuhan tuna dan ikan laut dalam baharu di Bagan Ajam bagi memenuhi piawaian antarabangsa serta meningkatkan jumlah pendaratan ikan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol, berkata projek dengan anggaran kos RM150 juta hingga RM300 juta itu kini dalam peringkat perbincangan bersama beberapa pelabur.

“Pelabuhan ini dijangka siap dalam tempoh 18 hingga 24 bulan selepas kelulusan teknikal pihak berkuasa tempatan dan peruntukan swasta disalurkan. Kita mahu mengembalikan kegemilangan industri tuna Pulau Pinang seperti era 1990-an,” katanya.

Menurut Fahmi, pelabuhan khas itu akan memberi kelebihan operasi kerana ia hanya menampung kapal tuna tanpa perlu berkongsi kemudahan dengan kapal komersial, sekali gus menawarkan caj pelabuhan lebih rendah.

Selain mesra pengguna, kemudahan tersebut direka mengikut piawaian Kesatuan Eropah (EU) dengan fasiliti khusus untuk pengendalian tuna.

Rekod awal Jabatan Perikanan Malaysia menunjukkan, tahun lalu Pulau Pinang merekodkan pendaratan tuna sebanyak 431,000 kilogram bernilai RM7.76 juta, manakala kapal Malaysia yang mendarat di Mauritius mencatatkan 3.75 juta kilogram, menjadikan jumlah keseluruhan 4.29 juta kilogram.

Bagi tahun ini sehingga kini, jumlah pendaratan tuna di Pulau Pinang termasuk kapal asing adalah 1.45 juta kilogram bernilai RM26 juta.

Dengan adanya pelabuhan baharu di Bagan Ajam, pihak kerajaan negeri menjangkakan jumlah pendaratan tuna akan meningkat antara 30 hingga 50 peratus dalam tempoh lima tahun selepas ia beroperasi.

Related Articles

Back to top button