BANGI: Majlis sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Pertahanan Awam (HUTPA) Angkatan Pertahanan Awan Malaysia (APM) kali ke-71 disambut secara Istiadat Regimental APM yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali bertempat di Bangi Avenue Convention Centre pada Jumaat.
Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang ditauliahkan pangkat Pesuruhjaya kehormat APM dalam majlis tersebut serta pengumuman penubuhan 12 pasukan Bantuan Pertahanan Awam (CDA) berdasarkan tiga skop bantuan utama iaitu latihan, kepakaran dan pelbagai.
Bertepatan dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu, ‘Semarak Pertahanan Awam’, majlis yang diadakan ini diharap dapat memberi motivasi dan dorongan kepada warga APM untuk terus bersemangat dalam menggalas tanggungjawab selaku agensi yang berperanan memberikan kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat berhubung agenda Pertahanan Awam Negara.
Menurut Datuk Armizan Mohd Ali, hanya 2.1 juta individu atau 6.3% keseluruhan rakyat negara ini mempunyai ilmu asas pertahanan awam.
“kerajaan mahu meningkatkan kadar kepada 10% rakyat diberikan latihan asas pertahanan awam seperti ditetapkan oleh Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (ICDO), oleh itu perjalanan kita bagi mencapai sasaran itu masih jauh lagi,” katanya kepada pemberita.
Majlis yang berlangsung dengan dimulakan dengan perbarisan tabik hormat oleh Pasukan Perbarisan APM diikuti majlis Perasmian HUTPA oleh Menteri diikuti penganugerahan pingat dan reben Angkatan Pertahanan Awam.
Anugerah Pingat Jasa Bakti turut diberikan kepada anggota APM serta anggota dari SMART yang telah mengharumkan nama Malaysia semasa operasi mencari & menyelamat mangsa bencana gempa bumi di Turkiye.
Majlis turut dihadiri oleh komandan CDERT MAPIM Malaysia, Penolong Pesuruhjaya Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol yang dijemput bersama sebagai tetamu VIP dalam majlis ini.
Bersempena Ramadan, majlis HUTPA ini diakhiri dengan jamuan berbuka puasa dan solat tarawih secara berjemaah.
BACA JUGA
CDERT MAPIM serahkan bot kepada nature lifeguard APM Pahang