DomestikSemasa

Warga Emas Maut, Empat Selamat dalam Kemalangan Pacuan Empat Roda Terjunam Gaung di Kapit

Sibu, 21 Julai 2025 – Seorang warga emas, Berain Sinau, 81, maut apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Triton yang dinaikinya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di Kilometer 38.6 Jalan Musah/Kajah, Song, Bahagian Kapit, malam tadi. Empat penumpang lain terselamat, dengan seorang mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, penumpang cedera, Basir Dingun, 43, dihantar ke Hospital Kanowit oleh orang awam untuk rawatan. Pemandu berusia 50 tahun dan dua penumpang lain, masing-masing berusia 61 dan 44 tahun, tidak mengalami kecederaan.

Panggilan kecemasan diterima pada 7.50 malam, dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat Song, dengan bantuan polis, tiba di lokasi pada 9.23 malam selepas melalui jalan balak sejauh 46 kilometer. Jentolak dari syarikat pembalakan berhampiran digunakan untuk membuka laluan dan menarik kenderaan ke kawasan lebih selamat.

“Pasukan penyelamat mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 12.50 pagi,” kata jurucakap itu dalam kenyataan.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button