
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) optimis bahawa saingan Liga Super musim 2025/2026 akan terus mendapat sokongan padu daripada peminat bola sepak tanah air meskipun tanpa penyertaan beberapa pasukan tradisi yang sebelum ini menjadi tumpuan utama liga.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, berkata pihaknya menyedari kebimbangan dalam kalangan penyokong susulan ketiadaan kelab-kelab seperti Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC dan Perak FC, namun situasi semasa menunjukkan minat terhadap Liga Malaysia (Liga-M) kekal kukuh.
“Saya percaya persepsi negatif timbul kerana ketiadaan beberapa pasukan besar, tetapi realitinya sokongan terhadap pasukan yang ada masih tinggi. Perlawanan pramusim menunjukkan kehadiran penyokong di stadium masih memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran musim baharu Astro X Liga Malaysia, yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Musim baharu Liga-M akan bermula pada 8 Ogos ini, menerusi perlawanan Piala Sumbangsih yang menemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC, bertempat di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shazli turut memaklumkan bahawa proses pendaftaran pemain kini berada di fasa akhir, membabitkan semua pasukan yang akan bersaing musim ini.
“Dokumen kini sedang dilengkapkan untuk kelulusan akhir oleh Unit Perlesenan sebelum diserahkan kepada Unit Pertandingan. Proses terakhir adalah saringan kelayakan pemain,” jelas beliau.
Langkah ini penting bagi memastikan hanya pemain yang benar-benar layak didaftarkan dan dibenarkan beraksi dalam pertandingan rasmi Liga Super.
— BERNAMA