KemanusiaanSemasa

Timbalan Presiden MAPIM, Ustaz Zulkifly Ibrahim kembali ke rahmatullah

IPOH: Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Ustaz Zulkifly Haji Ibrahim telah kembali ke rahmatullah hari ini (19 Julai 2022) ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ustaz Zulkifly terdahulu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal apabila jantungnya tidak stabil, paru-paru  dijangkiti kuman, tekanan darah rendah, dan terpaksa bergantung kepada mesin dialisis.

Ustaz Zulkifly Ibrahim dilahirkan di Lambor Kanan, Bota, Negeri Perak pada 22 April 1962 dan menetap di Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Beliau mempunyai seorang isteri dan empat orang anak, iaitu dua orang lelaki dan dua orang perempuan.

Belajar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Telok Bakong. Kemudian di Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh. 

Beliau melanjutkan pengajian di bidang Diploma Pengurusan Perbandingan pada tahun 1990-1992 di Kolej Darul Hikmah dan seterusnya pada tahun 2004 menyambung pengajian tingginya di Universiti Teknologi Malaysia dan pada tahun 2008 menjadi Graduan Sekolah Pendidikan Professional dan Pendidikan Berterusan bagi Kursus Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam).

Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1981 sebagai guru sambilan di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Chemor. 

Setahun selepas itu beliau bertugas sebagai Pegawai Dakwah & Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sehingga tahun 1997.

Antara tahun 1997 hingga 1999, beliau bertugas di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Daerah Kinta beliau menjawat jawatan sebagai Pengurus Pusat Pembangunan Minda.

Pada tahun 2008 dan 2009, Ustaz Zulkifly menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Perak, Pejabat Menteri Besar Perak.

Selepas itu, beliau aktif dengan Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM).

Bersama MAPIM, beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kerja-kerja kemanusiaan di dalam dan di luar negara.

Beliau juga sangat terkehadapan dalam membantu rakyat Palestin yang sering menjadi mangsa kekejaman Zionis Israel.

Malah, beliau juga pernah turut serta dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan di Syria pada tahun 2015  bersama rakan seperjuangannya, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery.

Antara sumbangan besar Ustaz Zulkifly adalah pembinaan Kompleks Pendidikan Baitul Ridzwan, Perak.

Jenazah Ustaz Zulkifly dijangka akan dikebumikan pada malam ini dan solat jenazah Allahyarham akan diadakan di Masjid Muhammad Al-Fateh, Ipoh.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button