
Lebih 100 kakitangan BBC bersama lebih 300 tokoh awam, termasuk pelakon Charles Dance, Juliet Stevenson, dan penulis skrip Mike Leigh, telah menandatangani surat terbuka yang mendakwa penyiar awam United Kingdom itu berpihak kepada Israel dalam liputan perang di Gaza. Surat itu mendakwa BBC kerap bertindak sebagai “PR untuk kerajaan dan tentera Israel,” menjejaskan integriti editorialnya.
Dalam surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarah BBC, Tim Davie, dan ahli lembaga pengarah, Deborah Turness, kakitangan menyatakan BBC “lumpuh oleh ketakutan” untuk dianggap mengkritik Israel, menyebabkan budaya penapisan. Mereka menuduh kakitangan dihukum kerana berkongsi kandungan kritikal terhadap Israel di media sosial dan menyorot keputusan BBC menarik dokumentari *Gaza: Doctors Under Attack*, walaupun ia telah lulus semakan editorial kanan.
Surat itu menyifatkan penarikan dokumentari itu sebagai “keputusan politik” yang tidak mencerminkan kualiti kewartawanan karya tersebut. Keputusan itu didakwa dipengaruhi oleh komen awam pembikin filem, Ramita Navai, yang menggambarkan Israel sebagai “negara penyangak yang melakukan jenayah perang dan pembersihan etnik.”
Kakitangan juga menuntut peletakan jawatan ahli lembaga pengarah, Robbie Gibb, kerana hubungannya dengan ewish Chronicle, yang dituduh menerbitkan kandungan “anti-Palestin dan perkauman.” Mereka menyatakan BBC gagal menjelaskan mengapa pandangan sehaluan dengan kebimbangan antarabangsa membatalkan kelayakan dokumentari tersebut.
BBC dalam kenyataannya menegaskan komitmennya terhadap liputan yang adil dan kukuh mengenai konflik Gaza. Namun, surat itu mendedahkan ketegangan dalaman, dengan kakitangan mendakwa wujud standard berganda dan kewartawanan yang ditindas dalam organisasi itu.
Sumber: TRT World