PalestinSemasa

Kumpulan Elders Tuduh Israel Lakukan “Pembunuhan Beramai-Ramai” dan Kebuluran di Gaza

Kumpulan tokoh negarawan antarabangsa, The Elders, buat pertama kali menggelar situasi di Gaza sebagai “pembunuhan beramai-ramai” sambil menuduh Israel sengaja menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan, sekali gus menyebabkan kebuluran yang meluas.

Dalam kenyataan selepas lawatan ke lintasan sempadan Rafah di Mesir, kumpulan yang diasaskan oleh bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela pada 2007 itu berkata, bukti di lapangan menunjukkan rakyat Gaza berdepan kebuluran akibat sekatan, di samping kematian besar-besaran akibat serangan berterusan.

“Hari ini kami melahirkan rasa terkejut dan kemarahan terhadap tindakan Israel yang sengaja menghalang bantuan menyelamatkan nyawa ke Gaza,” kata kumpulan itu. “Bukan sahaja berlaku kebuluran yang disebabkan manusia, tetapi juga pembunuhan beramai-ramai.”

Bekas Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark, yang menyertai lawatan itu bersama bekas Presiden Ireland Mary Robinson, menggesa Israel membuka segera lintasan Rafah untuk membolehkan bantuan sampai kepada penduduk Gaza. Clark memberi amaran bahawa sistem kesihatan semakin runtuh, ramai ibu dan bayi tidak mendapat makanan mencukupi, dan “seluruh generasi terancam kelangsungan hidupnya.”

Kenyataan The Elders turut menggesa Israel dan Hamas mencapai gencatan senjata, membebaskan baki tebusan Israel, serta menuntut sekatan dikenakan ke atas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. Kumpulan itu juga menyeru penggantungan segera pemindahan senjata ke Israel dan pengiktirafan Negara Palestin, namun menegaskan pengiktirafan itu sahaja tidak akan menghentikan krisis yang berlaku.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, perang yang telah berlarutan selama 22 bulan itu telah meragut sekurang-kurangnya 61,499 nyawa rakyat Palestin, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran mengenai risiko kebuluran besar-besaran di wilayah yang dikepung.

Sumber: AFP

 

Related Articles

Back to top button