DomestikSemasa

JAWI Rakaman Percakapan Individu Disyaki Terlibat Aktiviti Tidak Bermoral

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini mengambil keterangan dan merakam percakapan sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral di sebuah kelab kesihatan di ibu negara pada Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata individu-individu berkenaan telah dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan JAWI untuk membantu siasatan, yang dijalankan mengikut Seksyen 59, Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).

Beliau menjelaskan JAWI telah menyiapkan siasatan berkaitan Seksyen 25 (Liwat), Seksyen 29 (Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam) dan Seksyen 47 (Percubaan) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559). Individu yang disyaki memberikan kerjasama baik semasa sesi rakaman percakapan, dan rakaman saksi akan dijalankan dalam masa terdekat untuk mengumpulkan maklumat tambahan bagi menyokong siasatan.

Dr Mohd Na’im menyeru semua pihak agar tidak memandang remeh terhadap gejala keruntuhan moral, yang jika dibiarkan boleh merosakkan jati diri generasi akan datang serta mencemarkan maruah negara. Beliau menegaskan institusi dakwah perlu memperhebat usaha penerangan tentang kefahaman Islam yang murni kepada masyarakat.

Dalam serbuan Jumaat lepas, seramai 17 penjawat awam antara 208 individu ditahan, dengan rampasan kondom dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button