EkonomiSemasa

Kerajaan Lulus Pelaburan Perkilangan Milikan Asing Bernilai RM357.1 Bilion

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan sebanyak 1,361 projek pemilikan asing dalam sektor perkilangan telah diluluskan bagi tempoh 2022 hingga September 2025.

Pelaburan yang bernilai RM357.1 bilion itu diselia di bawah MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta dijangka mampu menjana sebanyak 185,044 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.

71 Peratus Projek Telah Direalisasikan

Dalam jawapan bertulis yang dikeluarkan di laman sesawang rasmi Parlimen, MITI menjelaskan bahawa majoriti daripada projek yang diluluskan telahpun mula beroperasi atau dilaksanakan.

“Sebanyak 966 projek (atau 71 peratus) dengan nilai pelaburan berjumlah RM282.2 bilion telahpun direalisasikan. Selebihnya, sebanyak 356 projek perkilangan (26.2 peratus) masih berada di peringkat perancangan,” jelas kementerian tersebut.

Projek-projek yang masih dalam perancangan tersebut melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM60.1 bilion dan sedang melalui proses pemilihan lokasi serta perbincangan teknikal bersama pihak pemaju dan perunding.

Menjawab Persoalan Pelaburan Sebenar

Penjelasan ini diberikan bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Lumut) yang meminta perincian mengenai jumlah pelaburan asing yang diumumkan sejak 2022 yang benar-benar telah direalisasikan, serta jumlah sebenar peluang pekerjaan berpendapatan tinggi yang berjaya diwujudkan.

Data ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan pelaburan yang diumumkan tidak sekadar angka di atas kertas, sebaliknya memberikan impak ekonomi yang nyata melalui pembukaan kilang dan penciptaan peluang kerja.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button