DomestikSemasa

Mama, babah, kakak sentiasa menyayangi Ali, pulanglah..

KUALA LUMPUR: “Ali, jika Ali terbaca posting ini, ketahuilah yang mama, babah dan kakak sedang menunggu kepulangan sayang,” itu merupakan coretan Wan Esuriyati Wan Ahmad, di laman sosial Facebooknya susulan anaknya, Ali Imran Naseruddin yang masih gagal ditemui sejak semalam.

Remaja lelaki yang merupakan pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4, didapati keluar dari kediaman rumahnya kira-kira jam 4 pagi kelmarin dan gagal dihubungi sehingga kini.

Wan Esuriyati berkata, sudah lebih 50 jam mencari namun Ali masih belum di temui.

“Kami terima maklumat orang ramai yang mengatakan mereka ternampak Ali di KL khususnya di kawasan keramat,”

“Kami bergegas ke sana hingga lewat pagi, tetapi tiada penemuan. Kami cuma mampu edarkan poster maklumat kehilangan Ali.” Katanya di dalam Facebook.

Tambahnya lagi, biarpun dalam keadaan bersedih, namun berkat doa yang tidak putus dari masyarakat,  dia terus yakin anaknya berada dalam keadaan selamat dan di bawah lindungan Allah SWT.

“Mama, Babah, Kakak sentiasa menyayangi Ali sepenuh hati dan kami sokong Ali,”

“Pulanglah, sesungguhnya kami amat menyayangi Ali untuk selama-lamanya,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tiada kata yang dapat digambarkan rasa penghargaan mereka kepada semua diatas segala doa, solat hajat dan bantuan yang diberikan.

“Terima kasih tidak terhingga kepada keluarga, saudara mara, rakan-rakan, rakan sekerja kerana tidak putus-putus mendoakan dan memberi sokongan,”

“Kepada pasukan penyiasat IPD Sepang dan orang awam, terima kasih untuk segalanya.” katanya.

Wanita itu sangat bimbang akan keselamatan anak lelakinya yang hilang dari kediaman mereka di Bandar Bukit Puchong 2, Puchong sejak awal pagi kelmarin dan menyedari kehilangan anak bongsu dari dua beradik itu ketika mahu mengejutnya di dalam bilik untuk bersiap ke sekolah, kira-kira jam 5.30 pagi.

Beliau memohon bantuan masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ali, untuk segera menghubunginya di talian 019-2216483 atau suaminya Naseruddin Wahab 011-31770502.

 

 

 

Related Articles

Back to top button