PalestinSemasa

Penembak Tepat Israel Akui Bunuh Orang Awam Palestin di Gaza 

Siasatan bersama selama lima bulan yang diketuai The Guardian mendedahkan bagaimana penembak tepat Israel dari unit rahsia yang dikenali sebagai “Unit Hantu” sengaja mensasarkan rakyat Palestin yang tidak bersenjata di Gaza.

Laporan itu, yang dijalankan bersama Arab Reporters for Investigative Journalism (ARIJ), Paper Trail Media, Der Spiegel dan ZDF, menganalisis akaun saksi, rekod perubatan, sijil kematian serta bukti video geolokasi. Hasilnya mengesahkan pembunuhan orang awam Palestin, termasuk empat ahli keluarga Doghmush pada 22 November 2023 di kejiranan Tel al-Hawa, Gaza City.

Dalam temu bual yang dikongsi di media sosial, Daniel Raab – penembak tepat kelahiran Amerika Syarikat yang menyertai tentera Israel – mengaku membunuh Salem Doghmush, 19 tahun, ketika mangsa cuba mengambil mayat abangnya yang terlebih dahulu ditembak.

“Itu adalah hukuman mati pertama saya,” kata Raab setelah ditunjukkan rakaman dron serangan tersebut. Apabila ditanya sama ada Salem bersenjata, dia menjawab: “Sejujurnya, saya tidak kisah. Adakah mayat itu benar-benar penting?”

Raab turut mendakwa unitnya membunuh lebih 105 orang sepanjang penempatan di Gaza, menyifatkan angka itu sebagai “mengagumkan.”

Menurut saksi yang terselamat, pembunuhan keluarga Doghmush berlaku secara berperingkat. Mohammed ditembak terlebih dahulu, diikuti Salem ketika cuba membantu. Bapa mereka, Muntasir, turut ditembak mati ketika menghampiri anak-anaknya, sementara seorang sepupu cedera parah ketika cuba memberi pertolongan.

Mayat mereka terpaksa ditinggalkan di jalan sehingga gencatan senjata pada 24 November membolehkan pengebumian dijalankan – walaupun undang-undang antarabangsa menjamin hak untuk mengutip dan mengebumikan jenazah.

Raab bersama seorang lagi penembak tepat, Daniel Graetz dari Jerman, adalah antara 11 anggota Unit Hantu yang terdiri daripada warga asing, termasuk dari AS, Perancis, Belgium, Afrika Selatan, Itali, Ethiopia dan Azerbaijan.

Kehadiran mereka kini mencetuskan aduan undang-undang di Belgium dan Perancis, dengan kumpulan hak asasi mendesak siasatan jenayah perang dijalankan terhadap pasukan itu.

Pendedahan tersebut memperkukuh gesaan komuniti antarabangsa agar Israel dipertanggungjawabkan. Banyak pihak berpendapat bukti yang ada menunjukkan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang disengajakan, berpotensi dikategorikan sebagai jenayah perang.

Tentera Israel sehingga kini terus melancarkan serangan ke atas Gaza yang menurut pihak berkuasa tempatan telah meragut lebih 64,600 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan. Israel turut sedang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

-TRT World

Related Articles

Back to top button