KABUL : Komander Tertinggi Taliban, Hibatullah Akhunzada mengumumkan larangan memaksa wanita Afghanistan untuk berkahwin bagi menghormati hak wanita, lapor Agensi Anadolu.
Pengumuman yang dibuat semalam, memberitahu wanita bukan harta, tetapi manusia mulia dan merdeka.
“Persetujuan wanita dewasa diperlukan semasa nikah atau perkahwinan. Tiada siapa boleh memaksa wanita untuk berkahwin.
“Tiada siapa boleh menjadikan wanita sebagai pertukaran untuk perjanjian damai atau untuk menamatkan permusuhan,” kata Akhunzada dalam satu dekri khas.
Tambah beliau, seorang balu juga berhak mewarisi sebahagian harta suami, anak, bapa dan saudara-maranya.
Dalam dekri khas itu juga, ketua tertinggi Taliban itu memaklumkan tiada siapa yang boleh merampas hak seorang balu.
Ujarnya, lelaki yang mempunyai ramai isteri perlu memberikan hak seadil-adilnya kepada semua isteri mengikut undang-undang syariah.
Sementara itu, dekri khas ini diumumkan ketika krisis kemanusiaan semakin gawat susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menyekat berbilion rizab Afghanistan.
Taliban kini berdepan dengan tekanan dari negara-negara barat berhubung pendidikan kanak-kanak perempuan.
Akhunzada meminta Mahkamah Agung mengeluarkan arahan untuk “mempertimbangkan permohonan hak wanita”.
Pada masa sama, Akhunzada turut menggesa Kementerian Haji dan Hal Ehwal Agama untuk ‘menggalakkan cendekiawan’ menyuntik “kesedaran kepada rakyat mengenai hak wanita”, manakala, Kementerian Penerangan dan Kebudayaan “menerbitkan artikel berkaitan hak wanita melalui saluran yang ada.”
Oleh Nurshazlin Shahrom