Tanah perkuburan Islam berhampiran Masjid Al-Aqsa dimusnahkan Israel
BAITULMAQDIS : Perbandaran Jerusalem yang ditadbir oleh zionis Israel telah memusnahkan tanah perkuburan Islam Al-Yusufiye yang terletak berhampiran Masjid Al-Aqsa.
Perbuatan terkutuk itu dilakukan dengan menggunakan kenderaan milik Bahagian Kejuruteraan perbandaran tersebut.
Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Perlindungan Tanah Perkuburan Islam, Ahmed al-Dajani berkata, mahkamah Israel telah memberi kebenaran kepada Direktorat Arkeologi Israel untuk melakukan kerja-kerja di atas tapak berhampiran tanah perkuburan itu.
Menurut laporan Anadolu, kenderaan tersebut meninggalkan lokasi selepas penduduk Palestin berkumpul berikutan laporan terdapat tulang-tulang dijumpai ketika operasi memusnahkan kawasan tanah perkhuburan berkenaan dilakukan.
Tanah perkuburan itu, terletak berhampiran tembok yang mengelilingi bandar lama merupakan salah sebuah tanah perkuburan tertua Islam di Baitulmaqdis yang diceroboh Israel.
Perbandaran Jerusalem merancang untuk membina sebuah taman berhampiran Tanah Perkuburan Al-Yusufiye.
Untuk rekod, antara kubur yang dimusnahkan itu adalah tempat bersemadinya mereka yang terkorban dalam konflik pada 1948 dan 1967.
Israel akan menghadapi tindakan undang-undang sebagai tindak balas daripada perbuatan perbandaran itu.
Terdahulu, penduduk Palestin berjaya menghalang perbandaran Jerusalem yang cuba untuk memusnahkan tangga bersejarah yang menuju ke banda lama dan Masjid Al-Aqsa.
– Anadolu Agency