DuniaSemasa

Tanah Runtuh Telan Sebuah Kampung di India Akibat Banjir Mengejut

Oleh : Alaa Madeng

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan lebih 50 lagi dilaporkan hilang selepas banjir kilat disertai tanah runtuh melanda sebuah kampung di kawasan pergunungan Himalaya, utara India.

Menurut pihak berkuasa tempatan, banjir lumpur yang melanda negeri Uttarakhand itu berlaku pada hari Selasa dan dijangka mengorbankan lebih ramai mangsa berikutan keadaan yang masih kritikal.

Rakaman video menunjukkan air banjir dan lumpur mengalir deras dari lereng gunung, menghentam kampung tersebut, menghanyutkan rumah-rumah dan merosakkan jalan-jalan utama. Penduduk dilihat berlari menyelamatkan diri dalam suasana panik.

Banjir lumpur turut merobohkan beberapa bangunan bertingkat dan menenggelamkan kawasan luas kampung dalam lumpur pekat, malah dalam beberapa kawasan, lumpur mencapai bumbung rumah.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa pasukan tentera dan agensi pengurusan bencana telah dikerahkan ke kawasan tragedi bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan lumpur.

Pegawai Daerah Uttarkashi, Prashant Arya, mengesahkan kematian empat orang dan menyatakan ramai lagi telah berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan India telah memohon bantuan tiga helikopter daripada kerajaan persekutuan bagi membantu usaha menyelamat di kawasan yang sukar diakses.

Negeri Uttarakhand sememangnya terkenal sebagai kawasan berisiko tinggi bagi kejadian banjir dan tanah runtuh, terutama sepanjang musim monsun dari bulan Jun hingga September. Pada tahun 2021, sekurang-kurangnya 200 orang terkorban apabila banjir mengejut memusnahkan semuanya.

Related Articles

Back to top button