Tentera Israel telah menyerbu Hospital Negeri Tubas Turki di Tebing Barat yang diduduki, mencetuskan panik di kalangan pesakit dan kakitangan, serta menyebabkan kerosakan kepada kemudahan hospital tersebut.
Serbuan yang berlaku pada malam Selasa itu susulan serangan dron Israel di perkampungan Aqabah, yang menyasarkan tiga warga Palestin yang didakwa terlibat dengan Hamas. Serangan tersebut mengorbankan dua individu dan mencederakan seorang lagi.
Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Negeri Tubas Turki untuk rawatan, namun tentera Israel memecah masuk hospital itu, merampas mayat dan menahan mangsa yang cedera.
Menurut saksi, tentera Israel menggunakan peluru hidup dan bom bunyi di dalam koridor hospital, menimbulkan ketakutan besar di kalangan pesakit dan kakitangan. Laporan turut menyebut tingkap dan pintu hospital rosak teruk, manakala kawasan penerimaan tetamu dirosakkan.
Dr Mahmoud Ghannam, ketua jabatan kecemasan hospital, bersama lima kakitangan perubatan lain termasuk pengarah hospital, telah ditahan sebentar sebelum dibebaskan.
Laporan daripada WAFA, agensi berita rasmi Palestin, menyatakan bahawa serangan itu adalah sebahagian daripada tindakan agresif yang berterusan terhadap kemudahan perubatan di wilayah yang diduduki.
Serangan seperti ini mencerminkan pola keganasan Israel terhadap institusi kesihatan, yang turut menyaksikan hospital di Gaza menjadi sasaran, menyebabkan kematian lebih 1,000 kakitangan perubatan setakat ini.
Sumber: for TRT World & Agensi