Covid19Semasa

KKM lulus Pfizer untuk kanak-kanak, Cansino sebagai dos penggalak untuk dewasa

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kelulusan pendaftaran bersyarat terhadap penggunaan vaksin Covid-19 Comirnaty keluaran Pfizer untuk imunisasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang bersidang semalam.

“Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection diluluskan untuk imunisasi Covid-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Sediaan ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas,”  katanya.

Sementara itu mesyuarat berkenaan juga meluluskan Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg dengan formulasi baharu untuk imunisasi Covid-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Formulasi baharu ini katanya tidak memerlukan pencairan sebelum disuntik dan mempunyai tempoh jangka hayat lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada iaitu satu bulan apabila diimpan pada suhu 2 darjah Celcius hingga 8 darjah Celcius dinyah beku.

Dalam pada itu, PBKD juga meluluskan penggunaan vaksin Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Vektor Adenovirus Jenis 5) (Cansino) sebagai dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun ke atas.

Vaksin penggalak ini katanya boleh diambil dengna sela masa tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama vaksin yang sama.

Dalam pada itu, beliau berkata kelulusan tersebut masih memerlukan maklumat kualiti keselamatan dan keberkesanan produk dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button