DomestikSemasa

PM Anwar Angkat Imej Malaysia Sebagai Pejuang Keamanan – Abang Johari

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berjaya mengangkat imej Malaysia di peringkat antarabangsa melalui pendekatan diplomasi berteraskan keamanan dan kedaulatan negara.

Menurut beliau, peranan Perdana Menteri dalam membantu menyelesaikan isu hubungan Kemboja-Thailand membuktikan komitmen Malaysia sebagai pejuang keamanan global.

“Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) telah berjaya mengangkat standard Malaysia dalam diplomasi antarabangsa. Apabila beliau sedikit sebanyak menyelesaikan masalah Kemboja-Thailand, dunia mengiktiraf keamanan sebagai matlamat utama kepimpinan beliau,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Sarawak malam ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan Timbalan Premier Sarawak termasuk Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta menteri persekutuan dan negeri.

Mengulas perkembangan antarabangsa, Abang Johari menyifatkan serangan Zionis ke atas Doha, Qatar, baru-baru ini sebagai tindakan yang jelas tidak menghormati kedaulatan negara lain.

Serangan udara pada Selasa lepas di kawasan Leqtaifiya melibatkan 15 jet pejuang Zionis, mengorbankan enam orang termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar. Pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.

Terdahulu, Anwar mengesahkan menerima jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha pada 15 Sept ini, yang dijangka memberi tumpuan kepada situasi terkini di Gaza.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button