Semasa

Tiga adik-beradik kembali semula ke pangkuan ibu kandungnya

KUALA LUMPUR : Permohonan habeas corpus Loh Siew Hong bagi menuntut semula hak penjagaan tiga anaknya telah diluluskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Selepas mendengar keterangan peguam Siew Hong dan peguam yang hadir mewakili ustazah Nazirah Nanthakumari Abdullah, Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusannya.

Siew Hong, 34 seorang ibu tunggal sebelum ini memfailkan petisyen habeas corpus bagi menuntut semula anak perempuan kembarnya yang berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun daripada jagaan pihak lain.

Sementara itu, peguam Nazirah, Aidil Khalid mendakwa mahkamah hanya memutuskan hak penjagaan anak-anak itu tanpa menyentuh fahaman agama mereka.

Sepanjang persidangan mahkamah, ketiga-tiga mereka ditempatkan dalam bilik saksi dengan pengawasan pihak polis.

Hakim Collin berpuas hati bahawa pemohon telah diberi hak penjagaan eksklusif, jagaan dan kawalan ke atas tiga anaknya melalui keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021, apabila dia mengumumkan penghakimannya.

Pada 20 Disember 2019, Siew Hong juga telah diserahkan hak penjagaan dan pengurusan sementara ketiga-tiga mereka, menurut Hakim Collin.

Pada 13 Februari lalu, Siew Hong selaku pemohon memfailkan writ habeas corpus terhadap Nazirah Nanthakumari Abdullah selaku responden pertama dan pihak yang menahan ketiga-tiganya sebagai responden kedua.

Walaupun mempunyai hak penjagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap anak-anaknya, wanita itu menyebut dalam permohonannya bahawa dia masih belum bertemu anak-anaknya kerana dilaporkan disembunyikan oleh bekas suaminya, M. Nagahswaran.

Mengikut writ itu, Siew Hong diberitahu bahawa anak-anaknya ditahan oleh responden pertama di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan dia tidak dibenarkan melihat mereka.

“Keputusan mahkamah secara tegas cuma berkenaan isu memulangkan anak kepada ibu tapi tak sentuh isu lain sebab keputusan hari ini ada dalam keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, berkenaan penukaran agama tiada isu.

“Sehingga ke saat ini agama anak itu kekal seperti yang didaftarkan sehingga ada arahan lain seterusnya selepas ini,” katanya.

Isu perebutan kanak-kanak tersebut tercetus selepas ibu tunggal itu yang sejak tiga tahun lalu terpisah dengan anak-anaknya dipertemukan semula dengan bantuan Nazirah.

Nazirah yang merupakan ustazah di sebuah pusat pengajian agama menjaga ketiga-tiga anak tersebut dengan didikan Islam selepas Siew Hong yang berbangsa Cina dan beragama Hindu tidak dapat dikesan selepas dikatakan menghilangkan diri manakala bapanya yang menukar agama kepada Islam kini sedang menjalani hukuman penjara.

Menurut sumber media, Siew Hong berpisah dengan Nagahswaran pada Mac 2019 dan kononnya melarikan tiga anaknya, menukar agama dan menempatkan mereka di pusat NGO ketika ketiadaan bekas isterinya.

Media turut menyatakan, Nagahswaran kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, Aidil berhujah dalam perbicaraan hari ini bahawa usul habeas corpus tidak lagi menjadi isu di hadapan mahkamah kerana Nazirah tidak menahan tiga beradik itu secara haram.

Lagipun, menurut peguam, Siew Hong membuat keputusan meninggalkan anak-anaknya di bawah jagaan JKM.

“Bagaimana boleh dikatakan si ibu memegang anak-anaknya secara haram jika dia mahu mereka ditempatkan dalam jagaan JKM?” Aidil berkata.

 

 

Related Articles

Back to top button