
Tiga pemain bola sepak remaja tempatan berpeluang menjalani latihan di pusat latihan kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur di London melalui program Biasiswa Bakat DASHING, jenama penjagaan diri lelaki.
Ketiga-tiga pemain ini akan dipilih daripada 120 peserta berumur 15 hingga 18 tahun yang disenarai pendek untuk menghadiri kem pembangunan bakat di arena sukan bertaraf antarabangsa.
Pihak DASHING menyeru bakat-bakat muda yang berminat untuk menghantar klip video pendek mempamerkan kemahiran mereka dalam permainan bola sepak ke akaun rasmi Instagram dan TikTok Biasiswa Bakat DASHING (@biasiswabakatdashing).
Panel jurulatih berwibawa akan menilai semua penyertaan dan menyenarai pendek 120 pemain berpotensi untuk menghadiri kem identifikasi bakat di Arena Sukan Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Kem tersebut akan dikendalikan oleh jurulatih pembangunan global Tottenham Hotspur, yang menampilkan sesi penilaian berstruktur, latihan intensif, dan pembangunan bakat bagi mengenal pasti pemain yang berpotensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
— BERNAMA