
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan sokongan agar wartawan asing dibenarkan memasuki Gaza yang kini dikepung, bagi melaporkan keadaan kemanusiaan di wilayah berkenaan.
Sejak Oktober 2023, Israel menghalang kemasukan wartawan asing kecuali di bawah kawalan ketat tentera mereka. “Saya ingin perkara itu berlaku. Sudah tentu. Saya akan berbesar hati jika wartawan dapat pergi. Walaupun ia berisiko tinggi, saya mahu melihatnya,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas lebih 100 wartawan, jurugambar dan wartawan perang antarabangsa menandatangani petisyen menuntut akses “segera dan tidak terkawal” ke Gaza. Petisyen tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif “Hak Melapor” yang diasaskan jurugambar perang pemenang anugerah, Andre Liohn, dan disokong tokoh media terkenal seperti Alex Crawford (Sky News), Christiane Amanpour (CNN), Mehdi Hasan, Clarissa Ward serta Don McCullin.
Para penandatangan menegaskan larangan media antarabangsa sejak perang bermula adalah “pencabulan hak orang ramai untuk mengetahui”, sambil menggesa Israel membenarkan liputan bebas dan telus.
Beberapa kumpulan kebebasan media dan pertubuhan kemanusiaan turut berulang kali mendesak sekatan itu ditarik balik, dengan memberi amaran bahawa ketiadaan pelaporan bebas menyebabkan masyarakat dunia hanya bergantung kepada maklumat yang diluluskan tentera Israel dan sebilangan kecil wartawan tempatan – ramai antara mereka telah terbunuh dalam konflik tersebut.
Sumber – TRT World