Semasa

Turki tawar program biasiswa pengajian kepada rakyat Malaysia – Idris

PUTRAJAYA : Bagi rakyat Malaysia yang berminat untuk menyambung pengajian di Turki, biasiswa pelajaran kini ditawarkan kepada pelajar oleh kerajaan Turki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran di Facebook dan permohonan biasiswa itu sudah dibuka dan berakhir pada 15 Mac ini.

“Alhamdulillah Kedutaan Besar Republik Turkiye memaklumkan bahawa Presidensi Hal Ehwal Ugama Turkiye bersama Yayasan Turkiye Diyanet mengumumkan tawaran program biasiswa itu.

“Ia melibatkan tawaran biasiswa bagi pengajian di Anatolian Imam Hatip High School, Theology Undergraduate dan Theology Graduate (Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah),” katanya.

Menurutnya, tawaran biasiswa itu adalah rentetan hasil pertemuannya bersama Duta Besar Republik Turkiye Merve Kavakci pada 14 Februari lalu.

Mengulas lanjut, permohonan boleh dibuat bagi calon-calon dalam kalangan warganegara Malaysia yang berkelayakan dan maklumat lanjut boleh dilayari di laman sesawang https://diyanetburslari.tdv.org.

“Saya mewakili kerajaan Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Turki dan Kedutaan Besar Republik Turki di Malaysia atas peluang ini. Semoga hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Turki akan terus kukuh,” katanya.

–UTUSAN

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button