
Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan telah menghalang syarikat pertahanan Israel daripada menyertai persidangan pertahanan yang dijadualkan berlangsung di Dubai bulan depan, lapor akhbar Israel Yedioth Ahronoth pada Rabu.
Menurut laporan itu, Kementerian Pertahanan Israel dimaklumkan bahawa syarikat-syarikat Israel tidak akan dibenarkan menghadiri acara tersebut. Notis berhubung keputusan itu turut disampaikan terus kepada eksekutif industri pertahanan Israel.
Walaupun alasan rasmi yang diberi merujuk kepada faktor keselamatan, pegawai kanan Israel percaya langkah UAE itu berkait rapat dengan serangan udara Israel pada Selasa yang menyasarkan kepimpinan politik Hamas di Doha, Qatar.
Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi daripada kerajaan UAE mengenai larangan yang dilaporkan itu.
Pada Selasa, Israel melancarkan serangan pertama ke atas wilayah Qatar, menyasarkan kediaman pemimpin politik Hamas ketika Doha menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata tidak langsung dengan pengantaraan Mesir dan Amerika Syarikat.
Kerajaan Qatar mengutuk tindakan Israel itu sebagai “tindakan pengecut” dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, sambil memberi amaran bahawa negara itu tidak akan bertolak ansur dengan apa yang disifatkan sebagai “tingkah laku melulu.”
Hamas kemudiannya mengesahkan barisan kepimpinan politik mereka terselamat daripada serangan tersebut, namun sekurang-kurangnya lima anggota kumpulan itu terbunuh.
Sumber: AA / Media Israel