PalestinSemasa

Ugutan Israel terhadap wartawan Palestin semakin menjadi-jadi

Israel sekali lagi bersikap ‘kuku besi’ dengan menyekat perjalanan berpuluh-puluh wartawan Palestin sebagai hukuman atas tugas hakiki mereka yang melaporkan kejadian serta kekejaman rejim Zionis kepada penduduk dunia.

Dalam satu kenyataan, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean pada hari Isnin berkata, laporan yang bertajuk “Menghukum Wartawan : Israel Sekat Kebebasan Bergerak” mendokumentasikan perisikan Israel dan Perkhidmatan Keselamatan Am Israel (Shin Bet) mengugut wartawan Palestin untuk tidak membenarkan mereka bebas bergerak.

Beberapa wartawan Palestin lain memberitahu Euro-Med Monitor, sekatan itu terbatal jika wartawan tersebut mengeluarkan laporan berkenaan keselamatan rakyat Palestin terjamin atau wartawan itu sendiri rela untuk bekerja di bawah Israel.

Ketua Pegawai Media Euro-Med Monitor, Nour Olwan berkata, selepas beberapa dekad pihak Israel semakin menekan tugas para wartawan di wilayah Palestin.

“Penangkapan, ugutan, kerosakan barang peralatan semuanya dibuat.

“Sejak kebelakangan ini, satu lagi bentuk penderaan yang tidak didedahkan terhadap mereka telah meningkat. Semakin ramai wartawan menyedari mereka dilarang daripada melancong tanpa alasan atau penjelasan, ini jelas disebabkan sekatan yang dibuat Israel,” katanya.

Rejim Israel sewenang-wenangnya menetapkan dasar dan hukuman baharu terhadap wartawan Palestin bertujuan untuk menghalang mereka.

Selain itu, pegawai Israel berjanji untuk membenarkan mereka meneruskan perjalanan jika mereka berhenti kerja kewartawanan atau berhenti bekerja untuk media tertentu.

Sekiranya wartawan menolak tawaran itu, mereka akan dikenakan serangan fizikal dan psikologi, termasuk dipukul, ditahan, pecah rumah, dan ancaman pendakwaan berterusan, kata mereka.

Wartawan Palestin Radi Karama,32, yang berasal dari Hebron di Tebing Barat berkata, beliau telah disoal siasat oleh seorang pegawai Israel yang menggelarkan dirinya sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap sekatan tersebut.

“Dia (pegawai Israel) memberitahu butiran larangan perjalanan. Dia menjelaskan beberapa cadangan, namun, semuanya tertumpu pada kerjasama dengan keselamatan Israel sebagai pertukaran untuk menghapuskan larangan itu. Dia menawarkan saya gaji bulanan sebanyak $3,000 (RM 12,675) sebagai balasan untuk bekerja dengannya, tetapi saya menolaknya.

“Selepas itu, saya terkejut apabila sekumpulan besar tentera Israel menyerbu rumah saya. Saya telah ditangkap dan dibawa ke penempatan Kiryat Arba di Hebron. Malam itu adalah yang paling teruk dalam hidup saya.” jelasnya.

Terdahulu pada Mei, rejim Israel menangkap dua wartawan iaitu Zina Al-Halawani dan jurugambar Wahbi Makiya di Baitulmaqdis ketika sedang membuat liputan tentang insiden pemindahan paksa penduduk Palestin di Sheikh Jarrah.

Dilaporkan, kedua-dua wartawan itu dihumban di bawah rumah ditangkap, dihukum dan dilarang memasuki kawasan kejiranan selama sebulan.

Pada 5 Jun, tentera Israel menangkap wartawan Guevara Al-Budairi, wartawan Al-Jazeera, semasa membuat liputan secara langsung di kawasan kejiranan yang sama.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button