
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
SUNGAI BESAR – Umat Islam diingatkan supaya tidak menyertai sebarang aktiviti yang mempunyai unsur-unsur keagamaan lain terutama Festival Bon Odori yang bakal berlangsung pada 16 Julai ini bertempat di Shah Alam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati festival itu memang mempunyai unsur-unsur keagamaan yang bertentangan dengan Islam.
“Kajian dibuat oleh JAKIM, memang ada unsur-unsur keagamaan, kita menasihatkan kepada orang Islam tidak perlulah sertainya. Banyak lagi (aktiviti) lain yang kita boleh sertai.
“Kita harap kekeliruan ini tidak diwujudkan, di pihak JAKIM, kita menasihatkan orang Islam jangan sertai program-program sedemikian, bukan itu sahaja, tetapi apa-apa jua yang membabitkan soal agama, kita kena sayang dengan agama kita,” katanya.
Aktiviti tersebut merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha yang mengandungi unsur pemujaan terhadap nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.
Terdahulu, perayaan Bon Odari dipercayai dianjurkan oleh Kelab Jepun Kuala Lumpur, Sekolah Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Jepun di negara ini.
Tular poster promosi penganjuran festival itu yang mendapat reaksi negatif di media sosial terutamanya dalam kalangan umat Islam di negara ini apabila isi kandungan poster tersebut memaparkan imej animasi wanita bertudung yang memakai kimono.
Festival tersebut dikatakan mendapat kerjasama daripada pelbagai organisasi termasuk Tourism Selangor Sdn Bhd serta disokong oleh Kerajaan Negeri Selangor, Invest Selangor Berhad dan Perbadanan Stadium Malaysia.
-Agensi