KUALA LUMPUR : Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun menceburkan diri dalam dunia perniagaan melalui Shopee dengan menjual barangan seperti lampu LED.
Umar Al-Khattab yang kini merupakan pelajar darjah lima nekad berniaga demi membeli sebuah telefon bimbit untuk memudahkan urusan pembelajaran dalam talian.
Kisah Umar tular apabila seorang pemilik akaun Facebook, Cek Ammey Abu Bakar berkongsi cerita bahawa dirinya menjadi mangsa penipuan jual beli dalam talian.
Ujar Umar, minatnya memulakan perniagaan tercetus apabila melihat rakan ayahnya menjelaskan cara memulakan perniagaan di Shopee.
Tambah Umar, dalam masa seminggu sahaja dia mampu mempelajari cara menguruskan perniagaan di Shopee.
“Saya telah belajar cara bercakap dengan pelanggan, dan saya telah belajar cara mengurus kedai saya dengan betul dengan membawa produk baru.
“Saya juga belajar bagaimana menangani masalah. Contohnya, semasa saya menghantar barang yang salah atau ukuran yang salah, saya menghubungi pelanggan dan meminta maaf.
“Kebanyakan mereka menjawab dengan baik penjelasan saya,” kata Umar kepada Malay Mail.
Kini, Umar meluaskan perniagaannya dengan menjual bukan sahaja lampu LED malah, mula menjual barangan alat tulis dan pewangi.
Ibu Umar, Nurul Huda Azman mengatakan bahawa anak lelakinya itu berusaha mengumpulkan wang untuk membeli sendiri telefon pintar agar dia dapat mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) setelah beberapa kali gagal mengikuti kelas itu kerana terpaksa bergilir dengan adik beradik yang lain.
“Kadang kala, kelas mereka bertindih dan kami harus mengutamakan anak-anak kami yang lebih tua.
“Dia meminta saya untuk membelikannya telefon baru tetapi melihat keadaan semasa, kami tidak mampu membelinya.” luah Huda.
Ketika ini Ibu bapa Umar tidak dapat bekerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terpaksa memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan seharian.
Dilaporkan, perniagaan Shopee Umar setakat ini memperoleh lebih 5,000 pengikut.
Sementara itu, Umar turut berkongsi dirinya bercita-cita ingin menjadi usahawan berjaya satu hari nanti.