Seramai 24,426 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka hari ini bagi memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Daripada jumlah itu, 11,697 pengundi adalah anggota tentera beserta pasangan masing-masing, manakala 12,729 lagi terdiri daripada anggota polis dan pasangan. Sebanyak 58 pusat pengundian awal dibuka serentak di seluruh negeri bermula tepat jam 8 pagi dan ditutup secara berperingkat.
Antara lokasi pusat pengundian ialah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, ibu pejabat polis daerah serta kem-kem tentera di seluruh negeri. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan disertai ribut petir di beberapa kawasan sepanjang hari ini.
Selepas selesai pengundian awal, semua kertas undi tidak akan dikira serta-merta dan proses pengiraan hanya akan dilaksanakan pada hari pengundian sebenar pada 29 November ini. Dengan selesainya pengundian awal, tumpuan kini beralih kepada hari pengundian utama pada hari Sabtu.
PRN Sabah ke-17 menyaksikan sebanyak 596 calon bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk 74 calon yang bertanding sebagai calon Bebas. Tempoh berkempen bagi pilihan raya ini bermula 15 November lalu dan akan berakhir pada 28 November, tepat jam 11.59 malam.
Untuk maklumat terkini mengenai PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
Sumber: BERNAMA






