
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin, UNRWA, memberi amaran bahawa satu daripada tiga kanak-kanak di Gaza tidak mendapat sebarang makanan sepanjang 24 jam lalu akibat sekatan Israel yang semakin menghimpit.
Dalam kenyataan pada Jumaat, UNRWA memetik penilaian segera Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) yang mendapati “satu daripada tiga kanak-kanak kecil di Gaza pergi sehari penuh tanpa makanan dalam tempoh 24 jam lalu.”
Agensi itu menegaskan bahawa “korban ke atas kanak-kanak dan zaman kanak-kanak mereka tidak tertanggung”, sambil menambah ramai kanak-kanak kini dipaksa bekerja, mengemis, merompak atau melakukan buruh kanak-kanak untuk kelangsungan hidup.
UNRWA sekali lagi menggesa gencatan senjata segera, menegaskan bahawa “anak-anak Gaza memerlukan gencatan senjata sekarang.”
Sejak 2 Mac lalu, Israel menutup semua lintasan ke Gaza, menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan, biarpun beratus trak bantuan tersadai di sempadan. Walaupun ada bantuan dibenarkan masuk, jumlahnya terlalu kecil untuk menampung keperluan berjuta penduduk yang terjejas.
Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 65,500 orang terbunuh sejak perang bermula pada Oktober 2023, manakala lebih 167,000 cedera — majoritinya wanita dan kanak-kanak. PBB menilai angka itu sebagai boleh dipercayai.
Sementara itu, Inisiatif Global Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan (IPC) telah mengisytiharkan kebuluran di Gaza City pada Ogos lalu dan memberi amaran ia bakal merebak ke Deir al-Balah dan Khan Younis menjelang akhir September sekiranya sekatan tidak ditamatkan.
— Agensi