SemasaSukan

Zii Jia Utamakan Prestasi Sebelum Sertai Skuad Kebangsaan, Akui Belum Pulih Sepenuhnya

Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menegaskan bahawa beliau hanya akan menyarung jersi kebangsaan bagi kejohanan utama seperti Piala Thomas dan Sukan Asia sekiranya tahap prestasinya pulih sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus. Walaupun sedia berkhidmat jika diperlukan, pemain berusia 28 tahun itu enggan sekadar melengkapkan kuota pasukan tanpa mampu menyumbang mata kemenangan yang diharapkan.

Kenyataan ini menyusul selepas kemunculan semula beliau yang mengecewakan di pusingan pertama Terbuka Malaysia PETRONAS 2026 semalam. Setelah berehat panjang selama 111 hari akibat kecederaan, Zii Jia tewas “straight set” 12-21, 17-21 kepada pemain India, Ayush Shetty dalam tempoh 39 minit. Beliau secara jujur mengakui tahap permainannya kini hanya berada pada paras 50 hingga 60 peratus dan tidak mahu menjadi beban jika diletakkan sebagai perseorangan ketiga pasukan.

Masalah kecederaan ligamen buku lali kanan yang dialami sejak akhir 2024 telah memaksa Zii Jia menarik diri daripada banyak kejohanan, menyebabkan ranking dunianya jatuh ke tangga 144. Namun, beliau kini menggunakan kelebihan perlindungan ranking di kedudukan nombor lapan dunia untuk kembali bersaing dan menjadikan kejohanan-kejohanan terdekat sebagai medan ujian sebelum membuat keputusan muktamad mengenai komitmennya bersama skuad negara.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button