PalestinSemasa

Laporan Rasmi Sumud Nusantara Command Center (SNCC)

29 September 2025 | 5:00 Petang

Sepang, 29 September 2025 — Kapal-kapal dalam Misi Flotilla ke Gaza kini dilaporkan semakin hampir ke Zon Kuning, iaitu 21 batu nautika dari sempadan perairan Palestin. Menurut laporan rasmi daripada Sumud Nusantara Command Center (SNCC), pada jam 5.00 petang waktu Malaysia, flotilla berada sejauh 366 batu nautika dari pesisir Gaza.

Tiada sebarang aktiviti dron dikesan sepanjang semalam, dan semua delegasi termasuk dari Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan sihat serta selamat.

SNCC memaklumkan bahawa pada jam 2.45 pagi waktu GMT+3 (7.45 pagi waktu Malaysia), kapal Johnny M, yang berperanan sebagai kapal pemerhati, mengalami kerosakan teknikal serius akibat kebocoran di ruang enjin sehingga menyebabkan kemasukan air. Kapal itu terpaksa dihentikan daripada pelayaran, namun semua peserta — termasuk enam orang delegasi Malaysia — berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal lain pada jam 9.00 pagi GMT+3 (2.00 petang waktu Malaysia).

SNCC menjangkakan misi ini akan lewat sekitar empat hari sebelum tiba ke Zon Merah dan seterusnya ke Gaza, dengan jangkaan ketibaan pada Khamis, 2 Oktober 2025. Pihak SNCC turut menafikan sekeras-kerasnya khabar angin mengenai kononnya terdapat kapal delegasi yang terbakar, dan menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menggugat misi dan semangat solidariti antarabangsa.

Ketua Pengarah SNCC, Dato’ Sani Araby bin Dato’ Abdul Alim Araby, dalam kenyataannya menyeru penyokong, media, keluarga peserta, dan masyarakat awam supaya terus memberikan sokongan moral kepada pasukan misi dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk propaganda yang cuba melemahkan usaha ini. SNCC menegaskan bahawa pusat ini adalah satu-satunya sumber rasmi untuk maklumat berkaitan Misi Flotilla dan menyeru semua pihak merujuk maklumat hanya melalui laman rasmi www.sumudnusantara.com, penjejak misi di tracker.sumudnusantara.com, talian hotline 012-800-2016, dan emel rasmi commandcenter@sumudnusantara.com.

“Komitmen kami tidak akan goyah. Misi kemanusiaan ini akan diteruskan hingga sampai ke Gaza, demi menyampaikan bantuan dan mesej solidariti rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa kepada saudara-saudara kita di Palestin,” ujar Dato’ Sani Araby.

Misi Flotilla kini memasuki hari ke-29, dengan pasukan terus komited melaksanakan usaha kemanusiaan bersejarah ini.

Laporan oleh:
DATO’ SANI ARABY BIN DATO’ ABDUL ALIM ARABY
Ketua Pengarah
Sumud Nusantara Command Center(SNCC)
29 September 2025

Related Articles

Back to top button