PalestinSemasa

250,000 Rakyat Belanda Sertai Perhimpunan Aman Tuntut Tindakan Tegas Hentikan Serangan Israel di Gaza

Lebih 250,000 penduduk Belanda berhimpun di Amsterdam pada Ahad dalam demonstrasi besar-besaran yang dinamakan “Barisan Merah”, bagi menuntut kerajaan Belanda mengambil pendirian lebih tegas terhadap serangan berterusan Israel ke atas Gaza.

Menurut laporan penyiar awam NOS, protes itu disifatkan sebagai antara yang terbesar pernah diadakan di negara berkenaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Berpakaian serba merah, para penunjuk perasaan berkumpul di Museumplein sebelum berarak melalui ibu kota sambil membentuk simbolik “garisan merah” — tanda bantahan terhadap dasar pro-Israel kerajaan Belanda.

“Dengan melukis garis merah di ibu negara semasa bulan pilihan raya, kami menyeru ahli politik dan seluruh rakyat Belanda supaya menunjukkan ketegasan terhadap kezaliman ini,” kata penganjur dalam satu kenyataan.

Demonstrasi tersebut disokong oleh lebih 130 pertubuhan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International, Oxfam Novib, Pax, dan The Rights Forum. Beberapa kumpulan Yahudi turut hadir bagi menunjukkan solidariti dan menegaskan bahawa pendirian mereka tidak mewakili keseluruhan komuniti Yahudi.

Desakan Hentikan Pembunuhan Beramai-ramai di Gaza

Penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis “Berhenti Menyokong Pembunuhan Beramai-ramai” serta menggesa gencatan senjata segera di Gaza, di mana lebih 67,000 penduduk Palestin dilaporkan terkorban sejak Oktober 2023.

Mereka turut mengecam kegagalan masyarakat antarabangsa menekan Israel supaya menghentikan serangan yang disifatkan sebagai genosid terhadap rakyat Palestin.

Kerajaan Belanda Akui Penderitaan Gaza ‘Tidak Dapat Diterima’

Perdana Menteri Dick Schoof menerusi hantaran di platform X (dahulu Twitter) menyatakan bahawa beliau memahami kemarahan dan rasa tidak berdaya rakyat Belanda terhadap konflik tersebut.

“Penderitaan besar di Gaza tidak boleh diterima dan tidak dapat dipertahankan,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan telah menggesa Israel supaya mengubah haluan serta meningkatkan tekanan bagi mencapai gencatan senjata.

Beliau turut menyifatkan cadangan pelan damai 20 perkara Presiden AS Donald Trump sebagai satu “harapan”, sambil menegaskan sokongan Belanda terhadap usaha pengantaraan oleh Qatar dan Mesir.

“Perang di Gaza mesti dihentikan, dan hanya keamanan yang adil serta berkekalan di Timur Tengah dapat membawa kestabilan,” tambahnya.

Gelombang Protes Serantau

Selain di Belanda, puluhan ribu rakyat turut turun ke jalan di Sepanyol, Pakistan, Istanbul dan Ankara, menuntut tindakan antarabangsa segera menghentikan serangan Israel ke atas Gaza.

Di Karachi, Pakistan, ribuan penduduk memenuhi jalan utama Shara-e-Faisal sambil mengibarkan bendera Palestin dan mengenakan keffiyeh, sebagai memperingati ulang tahun kedua serangan Israel ke atas Gaza. Perhimpunan itu dianjurkan oleh parti Islam utama negara, Jamaat-e-Islami (JI).

Sementara itu, di Türkiye, ribuan penduduk di Istanbul dan Ankara turut berhimpun membawa bendera Turki dan Palestin sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza.


Sumber: TRT World & Agensi Berita

Related Articles

Back to top button