
SHAH ALAM, 19 Jun 2025 – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melahirkan rasa kecewa dan kebimbangan mendalam terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan fatwa negeri Selangor ke atas kumpulan Sisters In Islam (SIS), yang sebelum ini diwartakan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan bahawa keputusan tersebut bukan sahaja melemahkan kewibawaan institusi fatwa, malah memberi kesan langsung terhadap kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Fatwa bukan sekadar soal pentadbiran. Ia adalah pelaksanaan syariah dan pelindung akidah umat. Bila fatwa boleh dibatalkan atas alasan prosedur teknikal semata-mata, ini mencabar kedaulatan hukum Islam dalam negara,” kata beliau.
Fatwa yang dimaksudkan telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada tahun 2014 dan diwartakan secara sah. Namun Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan pada 14 Jun lalu, menyatakan bahawa fatwa tersebut tidak sah atas alasan tidak mematuhi prosedur pentadbiran sivil, tanpa menyentuh kandungannya dari sudut syariah.
MAPIM turut mengeluarkan hujah balas terhadap kenyataan pihak tertentu yang menyifatkan keputusan tersebut sebagai isu “teknikal semata-mata.” Menurut MAPIM, pandangan ini adalah sempit dan menyesatkan.
“Fatwa terhadap SIS adalah hasil kajian menyeluruh terhadap kandungan fahaman mereka yang bertentangan dengan akidah dan hukum qat’ie. Ia bukan keputusan sewenang-wenangnya,” tegas Azmi.
MAPIM turut menolak hujah bahawa organisasi tidak boleh difatwa sesat hanya kerana ia bukan individu, dengan merujuk kepada sejarah Islam yang turut mengklasifikasikan gerakan seperti Muktazilah dan Syiah sebagai sesat berdasarkan fahaman mereka.
MAPIM menegaskan bahawa keputusan mahkamah itu membuka ruang kepada pemikiran liberal dan sekular untuk mencabar institusi fatwa dan hukum Islam secara sah di sisi undang-undang sivil.
“Keputusan ini meletakkan sistem sivil di atas hukum syarak. Hari ini SIS, esok mungkin khutbah Jumaat dan fatwa mufti pula dicabar. Ini bahaya yang umat Islam mesti sedar,” ujar kenyataan tersebut.
MAPIM menyeru agar Majlis Raja-Raja dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan segera menilai semula keputusan ini bagi memastikan autoriti fatwa kekal terpelihara. MAPIM turut menggesa pindaan undang-undang berkaitan pentadbiran fatwa agar lebih kukuh dalam menghadapi cabaran ideologi liberal dan tuntutan hak asasi yang bertentangan dengan syariat Islam.
Dalam nada yang tegas, MAPIM mengajak seluruh umat Islam bersatu mempertahankan institusi agama dan tidak membiarkan fatwa dijadikan mangsa manipulasi undang-undang moden.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk mencabar akidah dan hukum Allah. Institusi fatwa mesti dipertahankan sebagai benteng terakhir akidah umat,” kata Azmi mengakhiri kenyataan.