
Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, terlepas peluang ke podium apabila menduduki tempat keempat dalam final 100 meter lelaki Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, di sini, dengan catatan masa 10.35 saat.
Walaupun masa ini merupakan rekod terbaiknya dalam tiga perlumbaan di kejohanan ini, ia masih di bawah rekod musim terbaiknya, 10.20 saat. Pingat emas dimenangi Bayanda Walaza dari Afrika Selatan (10.16 saat), diikuti Puripol Boonson dari Thailand (10.22 saat) untuk perak, dan Hiroki Yanagita dari Jepun (10.23 saat) untuk gangsa.
Pelajar Universiti Auburn, Amerika Syarikat, berusia 22 tahun itu layak ke final selepas menduduki tempat ketiga dalam separuh akhir dengan masa 10.43 saat. “Saya cuba yang terbaik, tetapi mungkin ini sudah tertulis. Saya bersyukur dapat menghabiskan larian dalam cuaca Eropah yang tidak biasa bagi saya. Sasaran saya bukan sekadar ke final, tetapi ke podium. Hanya selangkah lagi, tapi ini realiti yang perlu saya terima untuk menjadi lebih baik,” kata Muhammad Azeem.
Pemegang rekod kebangsaan 10.09 saat ini akan bertanding dalam acara 200m malam ini (waktu Malaysia) dan menyertai kuartet 4x100m pada Sabtu.
Sementara itu, pelari 400m, Umar Osman, gagal ke final selepas menduduki tempat keenam dalam separuh akhir dengan masa terburuk musim ini, 47.10 saat. “Ini persembahan terburuk saya tahun ini. Banyak yang perlu diperbaiki untuk kejohanan akan datang dan Sukan SEA 2025,” katanya. Umar akan beraksi dalam acara 4x400m lelaki dan campuran.
Dalam acara lain, Hizillawanty Jamain mencatat masa terbaik musim ini, 2:18.45 saat, walaupun menduduki tempat terakhir dalam pusingan pertama 800m wanita. Mandy Goh Li pula menduduki tempat kelima dalam pusingan pertama 400m lari berpagar wanita dengan masa 1:03.12 saat, manakala Farrell Glenn Felix Jurus terkandas di pusingan kelayakan lompat tinggi lelaki.
Saingan olahraga WUG 2025 yang bermula Isnin lepas akan berlangsung hingga Ahad.
— BERNAMA